Zii Jia tak mahu prestasi `yo-yo’ terus hantui dirinya

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak rela prestasi ‘ala yo-yo’ terus menghantui dirinya bagi menghadapi cabaran sepanjang saingan musim ini.

-Advertisement-

Pemain berusia 24 tahun itu yang kini bergerak secara profesional, berkata sasaran utamanya tahun ini adalah untuk menstabilkan prestasinya dalam setiap kejohanan yang disertai.

Katanya, kemenangan ke atas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew ketika aksi peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, Rabu lalu adalah permulaan yang baik buat dirinya selepas berdepan kemelut dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gara-gara keputusannya meninggalkan badan induk itu, bulan lalu.

“Awal tahun ini, banyak perkara yang saya lalui dan seperti yang saya katakan sebelum ini apabila saya keluar daripada BAM, ia akan menjadi satu cabaran besar buat saya.

“Namun, saya sangat gembira dapat mengatasi tekanan ketika menentang Kean Yew apatah lagi ia perlawanan yang dinantikan semua peminat negara. Saya cuba untuk bermain tanpa mengikut emosi dan kekal tenang.

-Advertisement-

“Dulu, apabila saya buat satu kesilapan, sangat mudah untuk saya hilang fokus dan bergelut dengan prestasi tidak menentu. Mungkin dengan bermain tanpa mengikut emosi sebagai salah satu cara untuk saya menstabilkan prestasi.

“Sasaran utama tahun ini adalah untuk menstabilkan prestasi saya. Saya akan cuba apa saja cara sekalipun untuk stabilkan lagi prestasi saya,” katanya.

Selepas meninggalkan BAM, pemain nombor tujuh dunia itu akan dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya dan beberapa lagi individu termasuk fisioterapi turut akan dilantik untuk bersama pasukannya bagi meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 berharap dapat membawa ‘full team’ bersamanya apabila beraksi pada saingan Terbuka Jerman yang bermula 8 hingga 13 Mac ini.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427