JOHOR BAHRU: Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah tampak lega apabila tidak menjadi mangsa ratahan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tumpas 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Yusri mendedahkan beliau terpaksa merancang taktikal bertahan berbanding aksi permainan terbuka yang boleh menyebabkan skuad The Bos Gaurus akan tewas teruk kepada juara liga itu.
Malah katanya, anak buahnya berjaya melaksanakan tugas dengan baik walaupun terpaksa berhati-hati selepas tujuh pemainnya mengutip dua kad kuning dan boleh menyebabkan mereka digantung perlawanan bagi aksi berikutnya.
“Saya memang rancang nak main bertahan kerana kami tidak mampu dengan tujuh pemain yang beraksi tadi sudah mengutip dua kad kuning. Jadi, kami sarankan untuk tidak melakukan sebarang terjahan kerana kami takut tidak dapat beraksi di laman sendiri selepas ini.
“Jadi, walaupun tewas, mereka sepatutnya tidak perlu malu dengan persembahan mereka yang bertahan hampir sepanjang permainan. Sebelum ini kami pernah tewas 8-0 di sini, kena dua gol ini kira bersyukurlah,” katanya.
Pada perlawanan malam tadi, JDT mengesahkan kejuaraan liga buat 11 musim berturut-turut selepas menang 2-0 hasil jaringan Jese Rodriguez dan Jorge Obregon.
Yusri turut memuji aksi cemerlang penjaga gol, Haziq Nadzli yang menjadi penyelamat pasukan Kejor Yob Kejor selepas menafikan beberapa percubaan berbahaya pemain serangan Harimau Selatan.
-BeritaHarian