SHAH ALAM: Penyanyi rock popular, Yantzen, 65, masih dihantui penyakit misteri sehingga mengakibatkan kesakitan pada bahagian kaki dan sukar melelapkan mata sejak tahun lalu.
Penyanyi kumpulan Rusty Blade itu berkata, rasa sakit itu secara kebiasaannya datang secara tiba-tiba sebelum tidur, namun tetap memandang sudut positif dengan menganggapnya sebagai ujian Yang Maha Esa.
“Saya mengalami sakit misteri selama tiga bulan dengan rasa sakit pada bahagian kaki. Sekarang pun masih lagi ada rasa kebas.
“Kesakitan ini sukar nak dijelaskan sebab kalau nak penyakit gout pun bukan.
“Namun, saya anggap ini ujian Allah agar saya lebih berikhtiar mendapatkan perubatan atau rawatan secara tradisional.
“Memandangkan usia sudah menginjak 60 tahun, saya tetap bersyukur masih lagi diberikan tenaga walaupun saya ada sakit. Bagaimanapun, sakit saya boleh dikatakan semakin pulih,” katanya kepada BH Online.
Yantzen ketika ditemui pada sidang media Konsert Semangat Zaman Ulang Tahun Ke-20 di Permai Golf & Country Resort, hari ini.
Yantzen berkata, dia memilih bercampur dengan orang ramai supaya tidak cenderung untuk berfikir secara berlebihan mengenai sakit yang dialaminya itu.
“Kadang-kadang kita sebagai manusia boleh berimaginasi terlalu berlebihan, jadi saya terpaksa bercampur dengan orang ramai atau menyertai mana-mana acara.
“Apabila saya buat semua ini, kehidupan tidak menjadi huru-hara. Saya hanya minta kepada Allah supaya sentiasa berikan yang terbaik,” katanya.
Pada masa sama, peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu menegaskan, dia tidak mahu ambil pusing dengan tanggapan kurang baik daripada orang ramai mengenai penyakitnya itu.
“Sekarang saya masih lagi dalam proses perubatan untuk diri sendiri. Walaupun ada ramai melemparkan kata-kata kurang enak apabila melihat keadaan saya.
“Namun, ada juga masih sentiasa bersama. Bagi saya, itulah sifat manusia dan kita semua perlu terima,” katanya.
Terbaharu, Yantzen bakal menjayakan konsert sempena ulang tahun ke-20 album Semangat Zaman yang diterbitkan pada 2004 di Zepp Kuala Lumpur pada 29 September depan.
Konsert itu turut menampilkan artis rock legenda tanah air seperti Datuk Nash dari kumpulan Lefthanded, Joey (Bumiputera Rockers), Aris (Ariwatan), Jatt (Black Dog Bone), Rahmad (Mega), Muss dan Bandi (Amuk).
Mengulas pembabitannya dalam konsert anjuran Semangat Zaman Music Entertainment itu, Yantzen berkata, dia hanya mahu memberikan persembahan terbaik kepada peminat.
“Saya hanya berserah kepada Allah mengenai keupayaan untuk menjayakan konsert berkenaan. Bagaimanapun, saya tetap akan cuba untuk memberikan yang terbaik.
“Saya bersyukur saya akan menjayakan persembahan lain pula, beberapa minggu lagi.
“Jadi, rezeki saya untuk terus bertapak dalam industri muzik ini masih ada. Mudah-mudahan tahun ini memberi makna yang besar bagi saya,” katanya.
– BH