KUALA LUMPUR, 28 Okt — CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan X50 menjadi pemacu pertumbuhan baharu bagi pembuat kereta nasional, Proton, susulan ia menawarkan pendedahan kepada pasaran baharu dalam segmen B kenderaan utiliti sukan (SUV).
Penganalisis, Mohd Shanaz Noor Azam berkata strategi pertumbuhan eksport Proton dijangka mula digerakkan menerusi X50 dengan syarikat itu merancang untuk mengeksport model tersebut ke pasaran Thailand.
“Kami menyukai DRB-Hicom sebagai proksi kepada pelan pemulihan Proton,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Semalam, Proton Holdings Bhd (Proton) secara rasminya melancarkan SUV keduanya, X50, kenderaan kedua yang diusahakan bersama rakannya, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).
Kerjasama itu menawarkan fleksibiliti untuk X50 dibangunkan dalam pelbagai saiz dan pilihan transmisi, termasuk untuk elektrifikasi.
Sejak 16 Sept, selepas dibuka untuk pendaftaran, SUV berharga di antara RM79,200 dengan RM103,300 itu mencatatkan lebih 23,000 tempahan dengan 70 peratus daripadanya adalah bagi varian paling utama dan premium.
Proton memulakan pengeluaran X50 di barisan pengeluaran baharu di Tanjung Malim pada Sept.
Mohd Shanaz berkata pengeluaran Proton tidak terjejas dengan kes COVID-19 yang dilaporkan berlaku di bahagian kejuruteraannya di Shah Alam, Selangor.
“Kami mendapati Proton sedang meningkatkan pengeluarannya dan pada masa ini mereka mengeluarkan kira-kira 4,000 dan 3,000 unit masing-masing bagi X50 dan X70 setiap bulan di Tanjung Malim,” katanya.
— BERNAMA