Wujudkan institusi khas kendali subsidi pindahan tunai – Pakar ekonomi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan Institusi Pentadbiran Perpindahan Subsidi sekiranya mahu mengaplikasikan kaedah pemberian subsidi kepada rakyat melalui pindahan tunai, kata Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

-Advertisement-

Pakar ekonomi dari Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak itu berkata, institusi terbabit boleh diletakkan bawah seliaan Kementerian Kewangan (MoF) dan akan bertindak sebagai ‘paymaster’ kepada pemberian subsidi.

Biarpun MoF sudah mempunyai bahagian pembayaran yang bertanggungjawab membuat pindahan kepada pelanggan atau pembekal kerajaan, beliau berkata, sebuah institusi dengan pengasingan tugas wajar ditubuh bagi melicinkan pemberian subsidi pindahan tunai.

“Ini kerana ia membabitkan satu tugasan baharu dengan kerja yang banyak, malah penerima juga dijangka menjangkau lebih lapan juta orang… ia bukan jumlah kecil dari segi individu mahupun amaun bayarannya.

“Institusi itu nanti akan menguruskan hal berkait pentadbiran, pengurusan data termasuk verifikasi akaun, menentukan siapa golongan penerima, dan memastikan pindahan tunai dilakukan mengikut jadual,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, semalam, berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi kepada rakyat melalui pindahan tunai bagi mengelak berlakunya ketirisan serta manfaat kepada warga asing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun menjelaskan, pemberian secara pindahan tunai itu tidak boleh dilaksanakan untuk semua perkara, sebaliknya hanya beberapa urusan tertentu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, Asisten Prof Dr Abu Sofian Yaacob, berkata sekiranya dilaksanakan, kelayakan penerima subsidi melalui pindahan tunai itu tidak seharusnya bersandarkan pengelasan kategori B40, M40 mahupun T20.

-Advertisement-

Beliau berpandangan terdapat kelompongan dalam kaedah pengelasan itu, justeru kerajaan perlu lebih memberikan tumpuan kepada kelayakan penerima dengan meneliti satu demi satu permohonan yang diterima.

“Dalam keadaan semasa, B40 atau M40 sudah tidak relevan kerana tidak mencerminkan keadaan sebenar sesebuah keluarga… kena ambil kira lokasi mereka tinggal, pendapatan, pasangan bekerja atau tidak, jumlah anak dan tanggungan lain, faktor kesihatan keluarga… ini lebih adil tanpa prejudis mahupun mengikut kasta.

“Boleh contohi apa yang diamalkan di negara maju. Misalnya di United Kingdom, bantuan kredit diberi mengikut manfaat seperti kategori pendidikan anak-anak, kediaman dan kadar upah,” katanya.

Pakar kewangan keluarga, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri pula menyifatkan cadangan pemberian subsidi menerusi pindahan tunai itu amat baik dalam usaha mengatasi soal ketirisan kepada kira-kira 3.5 juta warga asing di negara ini.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia itu berkata, ia juga selaras dan rasional dengan apa yang sering diungkapkan Anwar, iaitu mengatasi subsidi kepada bukan sasaran yakni golongan kelas atasan atau ‘mahakaya’.

“Tinggal lagi perlu perhalusi mekanisme penyalurannya. Saya melihat dalam belanjawan ada sebut soal Pusat Data Utama yang menggabungkan data daripada 200 agensi, jadi saya kira ia boleh dijadikan platform rujukan,” katanya.

Beliau berkata, cadangan subsidi melalui pindahan tunai juga selari ke arah era digitalisasi kini, selain mencadangkan pemberian subsidi itu ditetapkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan sama ada dikreditkan setiap tiga bulan, enam bulan atau setahun sekali.
-BERNAMA
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427