WHO kecam diplomasi vaksin oleh kuasa besar dunia

Estimate Reading Time: < 1 minute

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengecam negara maju menggunakan vaksin COVID-19 bagi meraih kelebihan daya saing yang disifatkan sebagai diplomasi vaksin berbanding terbabit dalam kerjasama mengakhiri pandemik itu.

-Advertisement-

“Diplomasi vaksin bukan kerjasama,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bercakap kepada wartawan dari ibu pejabat WHO di Geneva.

Ketua agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan negara seperti Russia dan China, yang menyumbangkan sejumlah besar vaksin COVID-19 kepada negara terdesak sebagai pertukaran untuk akses pasaran dan pengaruh.

Tedros menolak ‘manuver’ geopolitik ketika hanya kerjasama yang jelas dan bersih dapat membantu mengatasi krisis kesihatan global.

“Kami tidak dapat mengalahkan pandemik ini melalui persaingan.

“Sekiranya anda bersaing untuk mendapatkan sumber daya, atau jika anda bersaing untuk mendapatkan keuntungan geopolitik, maka virus itu yang akan mendapat keuntungan,” katanya.

-Advertisement-

Pandemik COVID-19 mengorbankan hampir 3.3 juta orang sejak pertama kali muncul pada akhir 2019, menjejaskan kehidupan normal dan mengkucar-kacirkan ekonomi global.

Terdapat lebih 5.4 juta kes baharu dan hampir 90,000 kematian dilaporkan secara global, minggu lalu dengan jumlahnya masih meningkat terutama di India.

Ketika program vaksinasi yang pantas menyaksikan negara kaya kini mula kembali kepada keadaan normal, virus itu terus meningkat di banyak negara dengan kebimbangan terhadap ketidaksamarataan agihan vaksin global.

Tedros berkata, negara berpendapatan rendah mewakili 47 peratus populasi dunia, tetapi hanya menerima 17 peratus vaksin dunia.

“Mengatasi ketidakseimbangan global adalah bahagian penting dalam penyelesaian,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427