Warga emas cedera kereta langgar mati anak gajah

Estimate Reading Time: < 1 minute

MERSING: Seorang warga emas cedera apabila Toyota Altis dipandunya terlanggar seekor anak gajah yang sedang melintas jalan di Kilometer 30 Jalan Nitar-Mersing, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata pemandu lelaki berusia 70 tahun itu cedera di leher dan pergelangan tangan kiri, manakala anak gajah terbabit maut dalam insiden kira-kira jam 9 malam.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dengan seekor anak gajah.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Altis dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah Kluang ke Mersing terlanggar seekor anak gajah yang sedang melintas jalan bersama sekumpulan haiwan itu.

“Warga emas itu tersepit di tempat duduknya sebelum berjaya dikeluarkan pengguna jalan raya yang lain dan dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis juga telah memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Mersing yang kemudian bertindak segera menguruskan bangkai anak gajah itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59, manakala semua pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa peka dan berhati-hati ketika memandu di kawasan lintasan hidupan liar, terutama pada waktu malam.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464