LAHAD DATU- Seorang wanita rentung apabila kereta dinaiki terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Jalan Dam Simpang Putatan di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Pegawai Bomba Kanan II, Julkifli Harry berkata wanita yang menaiki Proton Saga itu rentung manakala seorang individu menaiki Toyota Revo cedera ringan.
Katanya seramai lapan anggota bergerak ke lokasi kejadian dengan jarak 6.3 kilometer dari BBP Lahad Datu setelah menerima panggilan kecemasan berkenaan kemalangan terbabit pada 6.24 pagi.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 7.11 pagi dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.- BERNAMA