Wanita rentung dalam kebakaran di Umbai hamil lima bulan

Estimate Reading Time: 2 minutes

JASIN: Nenek terkilan apabila hasrat untuk menimang cucu ketujuh daripada Allahyarham Laila Fathinah Mustapa tidak kesampaian apabila anak sulungnya itu rentung dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Ruziha Osman, 60, tidak menyangka pertemuannya dengan keluarga Allahyarham, malam tadi adalah yang terakhir sebelum menerima berita kejadian berkenaan.

“Saya terkejut dan tidak menyangka kehilangan anak bersama empat cucu sekelip mata.

“Memang arwah mengandung lima bulan dan kali terakhir kami berjumpa malam tadi di rumahnya pun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah ceria dan bergurau seperti biasa.

“Tidak sangka kejadian ini berlaku sekelip mata selepas mereka sekeluarga terselamat dalam kemalangan jalan raya di Brisu, Alor Gajah pada 30 Januari lalu,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Jasin, hari ini.

Anak Allahyarham yang turut rentung adalah Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah,6 dan Izz Danish Fathi, 4.

Laila Fhatinah turut mempunyai seorang lagi anak perempuan yang berusia 18 tahun.

Mengulas lanjut, Ruziha yang menetap di Puchong, Selangor berkata rentetan kemalangan jalan raya yang membabitkan Allahyarham bersama suami, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35 dan lima anaknya itu, seorang daripada cucunya cedera yang memerlukan rawatan susulan di Hospital PPUM.

“Laila Fathinah kemudian ada datang ke rumah saya bersama anak-anaknya yang lain pada Selasa lalu dengan menaiki bas dari Melaka Sentral dan saya kemudian hantar mereka pulang ke Melaka malam tadi. Itu kali terakhir kami berjumpa,” katanya.

Apabila mendapat perkhabaran mengenai kebakaran itu, beliau berkata, pada awalnya dia menyangka hanya kebakaran biasa, namun tersentak apabila dimaklumkan anak serta empat cucunya rentung dan gagal diselamatkan.

“Saya sangat terkejut kerana kami baru sahaja bergelak ketawa sepanjang perjalanan ke Melaka dan mereka juga tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Anak ketiga Laila Fathinah yang berusia lapan tahun, ikut semula saya pulang ke Puchong dan ketika dalam perjalanan ke Hospital Jasin ini saya maklumkan ibu serta empat beradiknya sudah tiada, namun dia seperti kebingungan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, lima beranak termasuk empat kanak-kanak rentung selepas kediaman mereka di Jalan Bakti, Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, musnah dalam kebakaran.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464