SITIAWAN: Seorang wanita maut manakala suami dan anak lelakinya yang berusia empat tahun cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Kayan, di sini, semalam.
Turut cedera dalam kemalangan itu adalah ibu mentuanya yang berusia 51 tahun, adik perempuannya, 13 dan anak saudara berusia 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata mangsa Noratikah Syakira Azman, 22, disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Seri Manjung pada 9.17 malam tadi.
“Kemalangan berlaku jam 3.30 petang, dipercayai suami mangsa yang juga pemandu kereta berkenaan dipercayai mengantuk.
“Kereta itu terbabas dan hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan,” katanya.
Nor Omar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-BH