Vaksinasi ‘walk-in’ warga emas bermula di PPV kendalian KKM

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin secara terus atau walk-in kepada individu berusia 60 tahun ke atas, dimulakan hari ini tetapi hanya membabitkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kendalian Kementerian Kesihatan (KKM).

-Advertisement-

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pemberian vaksin secara terus itu dimulakan oleh hospital dan intergrasi KKM di seluruh Lembah Klang.

“Hari ini, ada warga emas hadir mendapatkan vaksin secara walk-in di PPV bawah KKM, hospital dan intergrasi. Bagaimanapun buat masa ini hanya PPV di bawah KKM yang boleh menerima kedatangan warga emas secara walk-in.

“Bagi PPV Mega, seperti yang dinyatakan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) semalam, mereka belum bersedia kerana ada beberapa urusan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum dapat beroperasi secara walk-in untuk individu berusia 60 tahun ke atas,” katanya kepada BH hari ini.

Dr Adham berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan menyatakan bahawa PPV bawah KKM sudah bersedia memberikan vaksin secara walk-in dan yakin jumlah dos vaksin mencukupi untuk semua PPV berkenaan.

Tambahnya, beliau turut menggesa supaya operasi secara walk-in di PPV Mega dipercepatkan bagi membantu meningkatkan pemberian vaksin kepada warga emas berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai pemberian vaksin walk-in ini, Dr Adham berkata, kesemua mereka yang datang ke PPV itu akan diberi vaksin terlebih dahulu sebelum meminta mereka daftar di MySejahtera.

-Advertisement-

“Kita tahu, ada dalam kalangan warga emas ini tidak mempunyai MySejahtera atau sebelum ini berada di bawah akaun anak atau penjaga. Jadi bila mereka datang, kita akan cucuk (beri vaksin) dan kemudiannya baru daftar.

“Pendekatan ini sama digunakan seperti di Sarawak serta ia adalah kaedah paling cepat bagi memastikan kesemua warga emas di Lembah Klang ini mendapat vaksinasi,” katanya.

Ketika ditanya apakah langkah yang diambil bagi mengelakkan kesesakan berlaku di PPV terbabit, Dr Adham berkata, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di PPV awam, beliau yakin kejadian itu dapat dikawal.

“Jumlah warga emas yang masih belum menerima vaksin ini sudah tidak banyak, masih ada segelintir sahaja lagi dan kita sudah melihat semua faktor (sebelum mengumumkan mengenai pemberian vaksin walk-in).

“Jadi saya yakin kesesakan tidak akan berlaku. Di PPV awam kita memang laksanakan SOP yang ketat dan dengan aturan yang ditetapkan itu kita memang sudah bersedia menerima kehadiran warga emas ini,” katanya.

Buat masa ini, pemberian vaksin secara walk-in tidak membabitkan PPV Mega. Antara PPV Mega yang ada di Lembah Klang ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC); Bukit Jalil; Pusat Konvensyen The Mines, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam; Pusat Konvensyen Setia City serta Movenpick Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427