Usahawan B40, M40 digital akan diberi perhatian

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Usahawan daripada golongan B40 dan M40 yang berkecimpung dalam aktiviti berlandaskan inovasi dan ekonomi digital perlu diberi tumpuan agar dapat meningkatkan tahap kualiti kehidupan dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

-Advertisement-

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pandemik COVID-19 bukan sahaja mengubah cara manusia menjalani kehidupan harian tetapi turut mendesak semua pihak terutama usahawan segera beranjak kepada teknologi industri 4.0 (i4.0).

“Dalam menghadapi situasi pandemik yang mencabar ini, seharusnya teknologi i4.0 yang berasaskan pembangunan tempatan yang berteknologi tinggi dan ekonomi kurang sentuhan perlu diberi penekanan,” katanya berucap pada majlis pelancaran Program MTDC Industry 4.0 TechWeek secara maya hari ini.

Beliau berkata, teknologi i4.0 membantu memperbaiki kecekapan proses, meningkatkan produktiviti, menambah baik kualiti, mengurangkan keperluan untuk bersemuka, mengehadkan pergantungan kepada buruh kasar, meminimumkan sentuhan dan memendekkan tempoh proses.

“Keperluan kepada mekanisasi, sistem robotik, sains data, pendigitalan, kecerdasan buatan dan pelbagai cabang teknologi yang lain kini menjadi keperluan mustahak dan sekiranya tidak dipenuhi segera, akan membuat kita ketinggalan,” katanya.

Dr Adham berkata, MOSTI komited untuk terus menerajui bidang teknologi i4.0 lain seperti blok rantai, ruang simpanan awan, dron, Internet Kebendaan, robotik, Kecerdasan Buatan dan inovasi berpusatkan manusia.

Program MTDC Industry 4.0 TechWeek adalah penutup kepada siri Road2Growth yang berlangsung pada Mac hingga Mei 2021.

-Advertisement-

Bertemakan Melonjakkan IKS ke Landasan i4.0, Program MTDC Industry 4.0 TechWeek mengumpulkan pemegang taruh utama inisiatif teknologi industri 4.0 atau i4.0, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat besar, penyelidik universiti, pembangun teknologi, penggubal polisi dan pelabur untuk membincangkan tentang kesediaan industri, usahawan dan teknologi.

Dr Adham berkata, program itu menyokong pelbagai usaha MOSTI memberi tumpuan ke arah mempertingkat infrastruktur digital dan teknologi disruptif yang menjadi nadi utama bagi memastikan kelangsungan sistem ekonomi permulaan, pembiayaan dan pembangunan bakat.

“Sistem ini kemudiannya akan memangkin pembangunan sosioekonomi negara selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC), Datuk Norhalim Yunus, berkata perkongsian pengalaman dan perbincangan melalui program terbabit mampu memberi dimensi baharu kepada peserta untuk meningkatkan kefahaman mengenai cabaran dan peluang industri 4.0 yang semakin berkembang maju.

“MTDC dan syarikat di bawah ekosistem akan terus komited untuk menyokong perkembangan semasa industri 4.0 dan kami menyediakan perkhidmatan latihan keusahawanan dan pembangunan usahawan teknologi tempatan dalam bidang industri 4.0.

“Usahawan yang dikenal pasti akan dibimbing, dilatih dan diberikan bantuan teknikal menerusi cabang akademi MTDC iaitu Technopreneur Training Academy (TENTRA) untuk latihan keusahawanan dan Centre of 9 Pillars (Co9P) untuk kemudahan latihan bersama jurulatih berpengalaman bagi setiap latihan dan keperluan solusi i4.0,” katanya. -BERNAMA -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427