KUALA LUMPUR: Usaha membawa keluar rakyat Malaysia menerusi misi menyelamat oleh Pasukan Khas Ops Sudan, pastinya lebih sukar sekiranya tiada pembabitan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menghubungi Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk membantu operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan.
“Di kesempatan ini, saya juga menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Sudan.
“Ini kerana Tuanku sendiri telah menghubungi Presiden UAE untuk membantu operasi membawa keluar rakyat kita dari Sudan.
“Kejayaan operasi yang amat kompleks ini turut dibantu melalui penglibatan langsung dan berterusan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghubungi sendiri kepimpinan Sudan bagi mendapatkan laluan keselamatan,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Putra, Putrajaya, hari ini.
Zamry berkata tindakan Perdana Menteri menghubungi pemimpin Sudan adalah bagi mendapatkan laluan keselamatan sewaktu perjalanan sejauh 1,233 kilometer (km) dilakukan dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata sehingga keadaan di Sudan kembali pulih dan selamat, segala urusan berkaitan dengan negara berkenaan akan diselia secara pentadbiran oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir. – Berita Harian