Usaha sama MMAG, Menzies jadikan KLIA hab kargo serantau

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: MMAG Aviation Consortium Sdn Bhd (MAC), sayap penerbangan MMAG Holdings Bhd (MMAG), melalui anak syarikat milik penuhnya, MMAG Sky Services Sdn Bhd (MMAG Sky Services), mengadakan usaha sama dengan Menzies Malaysia Sdn Bhd, sebahagian daripada Menzies Aviation Limited (Menzies), syarikat perkhidmatan penerbangan terbesar di dunia.

-Advertisement-

Dalam kerjasama berkenaan, MMAG Sky Services akan memperoleh 49 peratus kepentingan ekuiti dalam Menzies Aviation Malaysia Sdn Bhd (Menzies Aviation Malaysia atau JV Co).

MMAG dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua syarikat akan berganding bahu untuk memperkenalkan penyelesaian perkhidmatan penerbangan bertaraf dunia ke Malaysia dengan menggabungkan kepakaran global Menzies dan pengetahuan tempatan MMAG yang mendalam serta infrastruktur automasi yang kukuh.
Katanya, usaha sama berkenaan dijangka akan memberi impak besar kepada sektor penerbangan Malaysia, seterusnya menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab kargo udara pilihan di rantau ini.

Pengerusi MAC, Woo Kam Weng, berkata, dengan kehadiran Menzies di lebih 290 lapangan terbang di seluruh dunia dan kini operasi sendiri di Malaysia melalui JV Co, Menzies Aviation Malaysia, ia akan merapatkan jurang dalam perkhidmatan penerbangan dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan ke KLIA.

“Ini akan menyediakan perkhidmatan penerbangan dan penyelesaian pengendalian darat yang lancar, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran penerbangan global.
“Menzies Aviation Malaysia telah menerima kelulusan bersyarat untuk Lesen Pengendalian Darat (GHL) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM). Kelulusan akhir lesen ini tertakluk kepada kejayaan pelaksanaan usahasama berkenaan.

“Setelah memperoleh GHL, Menzies Aviation Malaysia akan dibenarkan menyediakan pelbagai perkhidmatan kompleks dan kritikal masa, termasuk perkhidmatan penumpang, lounge, dan ramp; perkhidmatan kargo udara, termasuk pengendalian, penyimpanan, dan penghantaran kargo borong; serta perkhidmatan bahan api, termasuk pengurusan ladang bahan api dan pengisian bahan api ke pesawat.

-Advertisement-

Mengenai manfaat material yang dijangka diraih daripada kerjasama itu, Kam Weng berkata, dengan operasi Menzies Aviation Malaysia yang dijangka membawa kemasukan baru syarikat penerbangan ke KLIA.

“Kami menjangka kesan limpahan yang ketara akan membolehkan MMAG berkembang melangkaui pasaran kargo, menembusi pasaran pengendalian kargo penumpang. Pengembangan ini dijangka akan menggandakan jumlah kargo kami kepada 600 tan sehari pada peringkat awal, dengan sasaran mencapai 2,000 tan sehari.

“Pertumbuhan ini dijangka akan memberi impak material kepada pendapatan dan keuntungan MMAG, seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam pasaran perkhidmatan penerbangan.

“Selain daripada operasi langsung usaha sama itu, kerjasama dengan Menzies, penyedia bertaraf dunia, membuka peluang untuk MMAG bersaing di skala yang lebih besar dalam pasaran penerbangan global,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan menjalin kerjasama dengan rakan sekelas Menzies, MMAG berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan jangkauan dan kemampuannya, memastikan pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang dalam industri, dan akhirnya membantu mempromosikan KLIA sebagai hab kargo serantau.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427