Usaha pindah pesakit Hospital Al-Shifa terhad – WHO

Estimate Reading Time: 2 minutes

KAHERAH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui usaha memindahkan pesakit di Hospital Al-Shifa di Gaza yang sedang berjalan adalah terhad disebabkan kekangan keselamatan dan logistik.

-Advertisement-

Pengarah Kecemasan Wilayah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Rick Brennan, berkata antara kekangan dan halangan dihadapi ialah kekurangan bahan api bagi membolehkan pergerakan ambulans pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin untuk memindahkan pesakit.

Selain itu, katanya, jurucakap Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Baitulmaqdis turut memaklumkan ambulans juga tidak mencukupi.

Mengulas lanjut, Brennan berkata sehingga kini masih terdapat kira-kira 600 pesakit termasuk 27 dalam keadaan kritikal, selain 36 bayi baharu lahir di hospital Al-Shifa, yang diceroboh tentera Israel sebelum ini susulan tindakan pengepungan selama beberapa hari.

“Sehingga kini, Mesir terbuka bagi menyediakan ambulans ke Gaza untuk memindahkan pesakit selagi jaminan keselamatan dan laluan selamat boleh disediakan.

“Kami merujuk kepada kes bagi pemindahan perubatan sepenuhnya, tetapi terdapat banyak perkara boleh diambil kira termasuk aspek keselamatan, kerana banyak kekangan logistik.

“Pilihan adalah agak terhad, tetapi kami berharap adanya berita yang lebih baik menyusul dalam tempoh 24 jam akan datang,” katanya dalam temubual yang diadakan di Kaherah.

Pada masa sama, Brennan berkata, mereka yang diberi keutamaan dalam pemindahan itu, termasuk pesakit kritikal dan seramai 36 bayi baharu lahir yang kehilangan akses kepada inkubator kerana kekurangan bahan api untuk penjanaan kuasa.

Katanya, misi pemindahan pesakit menjadi rumit disebabkan aspek komunikasi dengan pihak hospital sudah terputus pada hampir setiap masa.

-Advertisement-

“Perancangan kami ialah untuk membawa majoriti pesakit dalam tempoh beberapa hari ini dari Al-Shifa. Kami akan membawa sebahagian besar mereka ke hospital di selatan Gaza tetapi kemudahan itu juga sudah melebihi kapasiti.

“Pilihan lain sudah tentu membawa sebilangan daripada mereka ke Mesir iaitu di Hospital Al Arish yang berkemungkinan menjadi rujukan pertama,” katanya.

Brennan berkata, WHO bekerjasama dengan kerajaan Mesir dalam merancang dan mewujudkan sistem pengelasan, penstabilan dan pemindahan perubatan yang komprehensif, termasuk menyediakan bekalan perubatan tambahan dan sokongan kesihatan mental di hospital itu.

Mengulas kenyataan Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry, yang mahu bantuan perubatan ditumpukan di dalam kawasan pantai yang dikepung di Semenanjung Gaza, Brennan bagaimanapun berkata, usaha itu tidak akan teragak-agak dilaksanakan jika hospital Al-Shifa mempunyai kemampuan mencukupi.

Katanya, hospital dan negara lain boleh menerima lebih ramai pesakit, termasuk mereka yang memerlukan rawatan intensif seperti barah serta mereka yang cedera dalam serangan pengeboman.

Beliau berkata, pemindahan pertama pesakit dari Gaza ke hospital di luar Mesir dilakukan pada Rabu lalu, apabila 27 pesakit kanser diterbangkan ke Turkiye dari Al Arish.

Sementara itu, menurut jurucakap ICRC risiko keselamatan semasa proses pemindahan pesakit adalah tinggi.

Beliau berkata, konvoi perubatan ICRC yang menghantar bekalan ke hospital berasingan di Gaza diancam serangan, minggu lalu.
– REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427