‘Usah dibelit kemiskinan minda jika ingin mengubah kehidupan’

Estimate Reading Time: 3 minutes

ALLAHYARHAM Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau Pendeta Za’ba lebih 100 tahun lalu pernah berkata: “Maka tiadalah sekali-kali manis dan elok dipandang orang, jika kita sentiasa menjadikan diri kita peminta sedekah, kepada semua perkara yang kewajipan kita sendiri, melainkan hendaklah kita tunjukkan yang kita boleh hidup sendiri dan berjalan dengan kaki sendiri, ada daya upaya dan kuat kudrat sendiri serta tahu berikhtiar dan akal fikiran dan kalendar tersendiri.”

-Advertisement-

Kata-kata keramat tokoh intelektual dan bahasa Melayu ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, sebaliknya pemikiran serta kesedarannya terhadap nasib bangsa serta perjuangan terhadap dilema kemiskinan orang Melayu masih relevan hingga kini.

Kemiskinan adalah persoalan universal dan survival sesuatu bangsa, apalagi jika sesuatu bangsa itu pernah ditindas dan dinafikan haknya untuk hidup dengan selesa dan sarat kesengsaraan seperti berlaku di Palestin.

Justeru, Syarahan Za’ba ‘Seabad Za’ba Pemikir Kemiskinan’ disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pasti menjentik sanubari rakyat, malah mengimbas kembali kata-kata Za’ba mengenai keupayaan bangsa Melayu mempertahankan ekonomi dan masa depannya di bumi sendiri.

-Advertisement-

Majlis Syarahan Za’ba bersempena Seminar 100 Tahun Za’ba Pembasmi Kemiskinan sempena Hari Akademia Negara itu turut mengangkatnya sebagai Tokoh Akademia Negara Sepanjang Zaman diterima cucu Allahyarham, Sharzede Salleh Askor.

Mengenang sosok tubuh mencorakkan akal budi bangsa ini, Perdana Menteri menegaskan sambutan dan kenangan tokoh silam itu bukan hanya pesta-pestaan sekadar membakar kertas hingga menjadi debu, tetapi menyemarakkan idea dan semangat utuh.

Apa yang mengagumkan Perdana Menteri terhadap figura dan permata bangsa ini, Za’ba dilihat sebagai pembicara umat bangsa mengenai kemiskinan dan pemikirannya jauh melepasi zamannya seperti tertulis dalam Jejak-Jejak di Pantai Zaman: Dari Za’ba ke Ungku Aziz.

Za’ba dianggap unik lantaran berbicara dari sudut pelbagai dimensi, termasuk kemiskinan pelbagai dimensi, yang kemudian dianggap sukar ditangkap ahli ekonomi serta perencana peringkat awal tanah air menikmati kemerdekaan.

Roh perjuangan terhadap kemelut kemiskinan dilihat dimiliki Za’ba juga sinonim dengan Perdana Menteri yang pernah turun di jalanan menggegarkan Demonstrasi Baling pada 19 November 1974 ketika masih belajar di Universiti Malaya (UM).

Keinsafan Anwar ketika masih muda memperjuangkan nasib petani miskin di Kedah membuktikan perjuangan dan isyarat tersemat pada sanubari sebagai ahli politik menjiwai nasib rakyat marhaen Melayu.

BH pada 7 Jun lalu memetik pandangan Kamarazaman Yaakob yang pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa UM sekitar 1970-an bahawa karektor dimiliki Anwar membolehkan dirinya diundang menyertai demonstrasi besar-besaran di Baling itu lantaran kepetahannya berpidato mengenai isu pembelaan nasib petani, selain umat Islam.

Nasib bangsa Melayu

Mengaitkan prinsip perjuangan Za’ba dan Perdana Menteri, kita melihat ada persamaan pemikiran serta kesedaran persoalan nasib bangsa Melayu yang masih membayangi rakyat sehingga kini. Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri melihat pemikiran Za’ba memberi kesan terhadap kewujudan pandangan mengenai beberapa sifat lemah dan tercela, tetapi menggagaskan pembaharuan kerana kelemahan pendidikan berikutan penjajah tidak menyediakan prasarana sewajarnya. Oleh itu, Perdana Menteri menegaskan dalam soal penyelesaian masalah kemiskinan, kerajaan MADANI perlu menumpukan usaha pelbagai dimensi.

Dalam konteks ini, beliau memetik pandangan pemikir terkenal kelahiran Mesir, Samir Amin bahawa perjuangan memerangi kemiskinan perlu bermula dengan kerangka pemikirannya dahulu seperti menganalisis masalah kemiskinan dan rakyat seperti yang pernah disinggung Za’ba lebih 100 tahun dahulu.

Za’ba melihat masyarakat dan kemiskinan dari pelbagai aspek, termasuk ilmu, perangai dan pendidikan supaya pemahamannya lebih tepat serta menyeluruh seumpama penekanan dibuat kerajaan dari aspek tatakelola kerana ia membabitkan juga perubahan struktural.

Justeru, kerajaan MADANI menzahirkan aspek tatakelola sangat membantu dalam memerangi kemiskinan dengan menutup ketirisan dan kebocoran, sekali gus perlu diberikan perhatian oleh keseluruhan kepemimpinan sama ada di universiti, jabatan atau masyarakat. Beliau turut mengimbas pandangan intelektual, Prof Diraja Ungku Aziz dan Dr Syed Husin Ali yang melihat seluruh aspek masyarakat itu dari segi kepercayaan agama, sikap, harta dan perangai.

Perbincangan isu kemiskinan diharapkan bukan sahaja menjadi aspirasi Perdana Menteri, bahkan seluruh rakyat Malaysia dari segenap lapisan.

Kemiskinan bukan sahaja nasib, malah dilema meresahkan mana-mana kerajaan memerintah. Peruntukan besar tentunya diperlukan dalam menanganinya walaupun rasa ketidakpuasan hati sentiasa membelit pemikiran dan persepsi masyarakat.

Dalam hal ini, Majlis Syarahan Za’ba inisiatif Institut Peradaban Melayu UPSI dilihat Perdana Menteri sebagai ruang permulaan membina tekad baharu untuk melakukan anjakan ke arah kebaikan. Usaha UPSI membuka pentas Syarahan Za’ba itu juga mengangkat Za’ba di luar pandangan selama ini yang melihat beliau sebagai pemikir bahasa, sebaliknya juga pemikir ikonik terhadap kemiskinan tanah air.

Semoga isu kemiskinan akan terus menjadi medan dan premis kepada perbincangan seterusnya, malah menyokong usaha Perdana Menteri membela nasib rakyat. Syarahan Za’ba juga diharap akan menjadi landasan intelektual mempersembahkan pemikiran dan pandangan kritis untuk melonjakkan peradaban bangsa. Jasa dan akal budi ditinggalkan Za’ba, anak kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan menjadi penterjemah di Pejabat Karang Mengarang pada era Sultan Idris Idris Training College (SITC) sekitar 1920-an akan terus dikenang serta dijadikan renungan bangsa dan generasi hari ini.

Malah, pemikiran dan personaliti Za’ba perlu menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa supaya lebih matang membina hemah diri demi menabur bakti kepada masyarakat yang masih bergelut dengan kemiskinan.

Mahasiswa tidak boleh dibelit kemiskinan minda jika ingin mengubah kemiskinan hidup. Kemiskinan bukan halangan mencipta kejayaan besar bersama pemikiran besar seperti Za’ba.

Md Amin adalah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala Ghazali adalah Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, (UPSI)
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427