TANJUNG MALIM, 21 Mac (TheCapitalPost) – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kepakarannya dalam bidang keusahawanan dan kelestarian menerusi Projek Penternakan dan Pengkomersialan Madu Kelulut yang dilaksanakan di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Lumut di sini.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata projek ini adalah manifestasi kepakaran UPSI dalam menerapkan elemen keusahawanan dan inovasi dalam pendidikan serta komuniti.
Katanya, projek yang bermula pada Julai yang lalu hingga April tahun ini adalah bertujuan membantu komuniti memperoleh kemahiran serta menjana pendapatan melalui penternakan lebah kelulut secara sistematik dan terkawal.
“UPSI bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga mahu memastikan ilmu yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam bentuk aplikasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Projek penternakan dan pengkomersialan madu kelulut ini adalah salah satu contoh bagaimana universiti menyumbang kepada pembangunan komuniti dan ekonomi negara.
Projek yang digerakkan oleh seramai lapan orang mahasiswa dan dua kakitangan UPSI itu diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI, Dr. Mohd Syariefudin Abdullah, dengan sokongan dana geran pemula berjumlah RM40,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) menerusi Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE).
Menurut beliau, projek ini turut mendedahkan peserta kepada teknologi terkini dalam industri madu kelulut, sekali gus menyokong aktiviti ekonomi secara lestari.
“Projek ini akan menjadi platform kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman sebenar dalam bidang keusahawanan dan pertanian lestari.
“Melalui penglibatan mahasiswa, mereka bukan sahaja dapat mendalami teknik penternakan lebah kelulut tetapi juga memahami keseluruhan rantaian nilai industri ini dari proses penuaian hingga ke pemasaran produk.
“Ini akan memberi kelebihan kepada mereka apabila menceburi dunia pekerjaan atau menjadi usahawan kelak.
“Projek ini juga membuktikan bahawa UPSI mempunyai kepakaran yang mampu membantu kerajaan dalam mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan memperkasa industri tempatan,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengetua UKLK UPSI, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob berkata, terdapat empat siri bengkel dan latihan secara praktikal akan diadakan meliputi proses pemilihan dan pemotongan log, pemasangan topping, pemantauan serta penyelenggaraan log kelulut sehingga ke peringkat penuaian madu.
“Sebagai langkah pengkomersialan, madu kelulut yang dihasilkan akan melalui proses pelabelan, pembungkusan serta dipasarkan menerusi platform media elektronik, sekali gus meningkatkan nilai pasaran dan daya saing produk tempatan.
Menurutnya, projek ini bukan sahaja berupaya meningkatkan pendapatan komuniti, malah turut berperanan dalam mengubah sikap masyarakat untuk lebih berminat menceburi sektor ekonomi berasaskan pertanian moden.
“Secara tidak langsung, ia juga menyumbang kepada usaha kerajaan dalam mencipta peluang pekerjaan dan merancakkan sektor ekonomi negara.
“Selain memberi manfaat kepada masyarakat, projek ini turut memberi impak positif kepada UPSI dalam melahirkan mahasiswa holistik dan berciri keusahawanan, di samping memperkukuh keyakinan organisasi luar terhadap kepakaran akademik universiti itu dalam pembangunan produk dan perkhidmatan,” ujar beliau.
Terdahulu, KPT telah melakukan lawatan pemantauan ke tapak projek pada 25 Februari lalu dan berpuas hati dengan perkembangan serta pelaksanaan projek yang berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan.
KETERANGAN GAMBAR
Gambar 1: Wakil dari pihak KPT, Timbalan Pengarah, Bahagian Perundingan dan Penyelidikan, Institut Pembangunan Koperasi dan Keusahawanan, Universiti Utara Malaysia, Dr. Juhaida Abu Bakar (tiga dari kiri) bersama Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI, Dr. Mohd Syariefudin Abdullah (empat dari kiri) ketika melawat ke tapak penternakan lebah kelulut di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Lumut, Perak.
Gambar 2: Wakil dari pihak KPT, Timbalan Pengarah, Bahagian Latihan Pelajar dan Inkubator, Institut Pembangunan Koperasi dan Keusahawanan, Universiti Utara Malaysia, Fadzil Mohd Husin (kiri) bersama Timbalan Pengarah, Bahagian Perundingan dan Penyelidikan, Institut Pembangunan Koperasi dan Keusahawanan, Universiti Utara Malaysia, Dr. Juhaida Abu Bakar (tiga dari kiri) serta Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI, Dr. Mohd Syariefudin Abdullah (dua dari kiri) semasa membuat pemantauan kawasan log kelulut di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Lumut, Perak.
Gambar 3: Wakil dari pihak KPT, Timbalan Pengarah, Bahagian Perundingan dan Penyelidikan, Institut Pembangunan Koperasi dan Keusahawanan, Universiti Utara Malaysia, Dr. Juhaida Abu Bakar (kanan) bersama Timbalan Pengarah, Bahagian Latihan Pelajar dan Inkubator, Institut Pembangunan Koperasi dan Keusahawanan, Universiti Utara Malaysia, Fadzil Mohd Husin (dua dari kanan) ketika menjalankan sesi penilaian projek madu kelulut di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Lumut, Perak.
BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI
-TheCapitalPost