KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meletakkan sasaran tinggi menjelang Kejohanan Varsity Trek dan Padang 2025 yang akan berlangsung di Stadium Kluang, Johor pada 25 hingga 27 April ini.
Ketua jurulatihnya, Nazmizan Muhammad berkata, kontinjen UniMAP menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat emas dalam temasya itu.
Jelas bekas raja pecut Asia Tenggara itu, tiga acara yang menjadi taruhan terbaik untuk merangkul kejuaraan ialah dalam kategori 100 meter (m), 200m dan 4x100m lelaki.
Beliau yang juga pensyarah kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP berkata, keyakinan itu dipacu berdasarkan prestasi cemerlang atlet-atlet pecut mereka serta bimbingan jurulatih yang berpengalaman serta komited.
“Dua nama besar yang menjadi sandaran UniMAP ialah Mohammad Raimi Mustafa Kamal dan Muhammad Faris Kamaruzaman, yang masing-masing telah membuktikan kehebatan mereka di pentas kebangsaan peringkat IPT.
“Raimi muncul sebagai juara berganda dalam Sirkit Akhir Varsity Track & Field 2024 apabila menjuarai acara 100m dengan catatan masa 10.50 saat (s) dan 200m dengan masa 21.57s iaitu satu pencapaian yang mengukuhkan statusnya sebagai pelari pecut utama negara di peringkat universiti.
“Faris pula tidak kurang hebatnya apabila menyumbang emas dalam acara 200m pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) sekali gus menjadikannya antara pelari yang paling konsisten sepanjang musim ini,” ujar Nazmizan ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, beliau melahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan anak didiknya untuk mencapai sasaran berkenaan.
“Persediaan rapi yang dijalankan sejak awal tahun termasuk latihan intensif dan penyertaan dalam beberapa kejohanan jemputan mengukuhkan lagi kekuatan mental dan fizikal para atlet,” katanya.
-BeritaHarian