Undi tidak percaya heret Perancis ke kancah krisis baharu politik

Estimate Reading Time: 2 minutes

PARIS: Perancis terjerumus dalam krisis politik baharu pada Selasa selepas Ahli Parlimen pembangkang berikrar mahu menjatuhkan kerajaan minoriti Perdana Menteri, Michel Barnier, dalam undi tidak percaya selepas hanya tiga bulan memegang jawatan.

-Advertisement-

Perkembangan itu menyusuli kebuntuan mengenai penjimatan belanjawan menyebabkan kegelisahan dalam pasaran kewangan, berikutan ketegangan beberapa bulan sejak Presiden Emmanuel Macron melantik pemimpin berusia 73 tahun itu pada September.

Parti pembangkang sayap kiri Perancis, La France Insoumise (LFI) menyatakan akan membawa usul tidak percaya selepas Barnier menggunakan kuasa eksekutif pada Isnin untuk memaksa pengenalan perundangan keselamatan sosial, tanpa membuat pengundian.

Pemimpin parti haluan paling kanan, Perhimpunan Nasional (RN), Marine Le Pen, yang menuntut perubahan pada bajet 2025, memaklumkan akan menyokong langkah LFI.

Penggubal undang-undang Perancis dijangka mengundi usul itu pada Rabu, dengan keputusan pertama sekitar 1900 GMT.

Dua usul tidak percaya akan dikemukakan, di mana satu usul dikemuka sayap kanan, yang dijangka sukar memperoleh kelulusan.

Satu lagi usul dicadangkan golongan sayap kiri yang akan disokong ahli Parlimen RN.

Ketika ditanya pada satu program di televisyen, jika wujud kemungkinan kerajaannya dapat bertahan dalam undian pada Rabu, Barnier menjawab beliau mahukannya berlaku dan ia mungkin terjadi, tetapi semuanya terpulang pada ahli Parlimen.

“Ini mencerminkan tanggungjawab melampaui perbezaan politik dan perubahan, yang menjadi percanggahan biasa dalam demokrasi dan kerap mengingatkan kita bahawa terdapat kepentingan yang lebih tinggi,” katanya.

-Advertisement-

Namun, sebahagian besar penganalisis percaya tiada harapan lagi bagi kerajaan sedia ada susulan pakatan lua biasa parti haluan kanan dan kiri.

Macron, yang kini dalam lawatan ke Arab Saudi, hanya menyaksikan krisis itu tercetus selepas beliau mengarahkan pilihan raya mengejut pada Jun, mendorong sesetengah pihak mempersoal sama ada beliau perlu mempertimbangkan untuk meletak jawatan.

Namun, beliau menolak gesaan untuk meletak jawatan bagi memecahkan kebuntuan politik di negara itu, dengan mengatakan senario sedemikian adalah satu fiksyen politik.

Dalam tinjauan pendapat diterbitkan pada Isnin, 52 peratus rakyat Perancis berkata mereka setuju jika Macron meletak jawatan, tetapi ia boleh menimbulkan kebimbangan di pihak atasan.

Jangka hayat kerajaan Barnier juga akan menjadi yang terpendek berbanding mana-mana pentadbiran sejak republik kelima Perancis terbentuk pada 1958.

Beberapa pemerhati mencadangkan Le Pen, 56, yang sedang berusaha untuk menjatuhkan Macron sebelum tempohnya berakhir, dengan menyingkirkan Barnier.

Le Pen juga terlibat dalam perbicaraan penyelewengan berprofil tinggi.

Jika didapati bersalah pada Mac, dia boleh disekat daripada menyertai pilihan raya presiden Perancis akan datang, yang dijadualkan pada 2027.

Sebaliknya, jika Macron berundur tidak lama lagi, pilihan raya perlu diadakan dalam masa sebulan dan jika Le Pen menang, wujud kemungkinan kes terhadapnya tidak akan diteruskan.
-AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427