Undi Cina penentu saingan PH dan PAS di DUN Kota Lama

Estimate Reading Time: 3 minutes

KOTA BHARU: Tidak seperti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di Kelantan, Kota Lama mempunyai keunikan tersendiri kerana ia satu-satunya kawasan yang mempunyai pengundi Cina paling ramai di negeri ini.

-Advertisement-

Kawasan N09 DUN Kota Lama mempunyai 33,043 pengundi iaitu 21,861 pengundi Melayu (66.15 peratus); 10,239 Cina (30.98 peratus) dan India 498 (1.5 peratus), manakala lain-lain kaum atau etnik seramai 445 pengundi (1.34 peratus).

Melihat kepada jumlah pengundi terbabit, jika di negeri lain, kebanyakan pengundi Cina lebih dominan kepada DAP, namun situasi itu berbeza di DUN Kota Lama, yang memperlihatkan mereka menyokong parti yang pelbagai.

Walaupun pengundi Cina merangkumi kira-kira 30 peratus dan menjadi penentu kemenangan mana-mana parti yang bertanding di situ, ia tidak menghalang kawasan terbabit daripada dikuasai PAS sejak 33 tahun lalu.

Setiap kali pilihan raya juga bukanlah sesuatu yang janggal dan luar biasa jika melihat kaum Cina sepakat membuka bilik gerakan sempena pilihan raya sambil mengibarkan bendera PAS.

Situasi unik itu dikongsikan Lim Guan Seng, yang menjadi antara jentera PAS yang membuka bilik gerakan parti itu di Jalan Kebun Sultan, terletak dalam DUN berkenaan.

Beliau yang juga ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), berkata mereka yang membabitkan 30 pengundi Cina bertanggungjawab menjaga bilik gerakan itu, selain turut dibantu empat lagi rakan kaum India.

“Kami membuka bilik gerakan PAS ini sejak Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, mengumumkan untuk membubarkan DUN bulan lalu.

“Aktiviti kami ialah menjahit dan memasang bendera, mengedarkan risalah serta turut membantu calon bertemu pengundi Cina,” katanya.

Pengundi DUN Kota Lama, Tiew Ley Sea, 55, juga mengakui pengundi Cina di DUN berkenaan adalah daripada pelbagai parti politik.

“Orang kata asal Cina mesti DAP, namun bukan kami di sini. Dalam kalangan kami di sini, boleh dikatakan penyokong DAP tidak ramai, ada yang menyokong PAS, selain menyokong Barisan Nasional (BN).

“Untuk PRN kali ini, kita melihat kedua-dua calon sama ada daripada PAS dan BN yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) adalah bagus,” katanya.

Kali terakhir DUN Kota Lama dimenangi calon Cina daripada MCA yang mewakili BN adalah pada Pilihan Raya Umum ke sembilan (PRU9) pada 1995 menerusi, Leong Su Siang. Selepas itu BN menerusi calon MCA gagal meneruskan penguasaan di kerusi terbabit.

Bukan lagi kubu PAS

-Advertisement-

Kerusi DUN yang disandang Datuk Anuar Tan Abdullah sejak PRU10 pada 1999 itu, kini bukan lagi dikategorikan sebagai kubu PAS walaupun kerusi terbabit sudah disandang parti itu selama lima penggal.

Buktinya, pada PRU14, Annuar Tan hanya menang kerusi itu dengan majoriti 1,445 undi, menjadi antara kerusi paling rendah majoriti kemenangan calon PAS, mengalahkan empat calon lain.

Justeru, tumpuan PRN kali ini pastinya akan terarah kepada calon PH dan PAS kerana kedua-dua calon berkenaan kini dikatakan mempunyai peluang sama rata.

PRN pada 12 Ogos ini, menyaksikan DUN Kota Lama memiliki pertembungan paling ramai iaitu empat penjuru membabitkan Dr Hafidzah Mustakim (PH-AMANAH); bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Datuk Zamri Ismail (PAS), Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) dan Tan Boon Kian (PRM).

Sementara itu, ditanya peluang di DUN berkenaan, Dr Hafidzah mendakwa, peluang PH pada saingan kali ini lebih cerah dan beliau akan berusaha merampas kerusi berkenaan.

“Sepanjang kempen setakat ini, sambutan pengundi termasuk berbangsa Cina, amat baik dan sudah mengenali saya memandangkan pada PRU-15, saya bertanding di Parlimen Kota Bharu.

“Insya-Allah walaupun perlawanan ini agak sengit, peluang untuk PH adalah tinggi dan kita berharap pengundi bersama-sama kita pada 12 Ogos nanti,” katanya.

Katanya, kaedah kempen dilakukan sepanjang dua minggu ini menggunakan fakta supaya pengundi mendapat maklumat sahih.

Sementara itu, Zamri turut menyifatkan persaingan di Kota Lama pada kali ini adalah sengit dan beliau sebagai orang baharu perlu bekerja kuat untuk memenangi kerusi berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian saya, pengundi Cina adalah penentu di DUN Kota Lama dan saya menggunakan pelbagai kaedah sepanjang tempoh berkempen ini.

“Alhamdulillah, pengalaman sebagai bekas Yang Dipertua MPKB, ia dapat membantu saya, malah pengundi di DUN ini juga ramai yang mengenali saya,” katanya.

“Saya mahu bekerja kuat demi memenangi hati pengundi dan mempertahankan kerusi PAS di DUN Kota Lama,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427