UMNO tetap relevan, masih jadi tempat rakyat bergantung harapan – Tengku Adnan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Perjuangan UMNO mesti diteruskan, malah tetap relevan dan sehingga kini masih menjadi harapan rakyat khususnya demi agama, bangsa dan negara, kata Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor

-Advertisement-

Justeru katanya, sokongan dan dukungan daripada ahli di peringkat akar umbi parti amat penting dalam menjayakan misi untuk bangkit kembali.

“Kita telah bersama-sama mengharungi pahit getir yang menguji kekuatan dan kerukunan kita dalam satu organisasi, secara tidak langsung menjadi satu kesatuan kepada bangsa Melayu untuk membangun, maju dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai arena.

“Sedarlah, segala cabaran yang timbul, baik dari luar mahupun dari dalam parti sendiri ia memerlukan perpaduan dari semua anggota parti untuk terus bekerjasama, memperkukuh kekuatan dan melihat masa hadapan bersandarkan generasi hari ini,” katanya seperti dilaporkan oleh portal UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian bersempena ulang tahun UMNO ke-77 tahun yang diraikan hari ini.

Tengku Adnan mengajak semua untuk bersama-sama menghayati perjuangan UMNO, memahami asas dan tujuan penubuhannya yang tentunya adalah berpaksikan kepada semangat nasionalisme demi agama, bangsa dan negara.

-Advertisement-

“Hasil kesinambungan perjuangan UMNO telah membawa kesejahteraan, keluar dari arus kemiskinan, semarakkan kemajuan lantas adalah menjadi tanggungjawab kita hari ini bagi meneruskan legasinya agar kelestarian yang pernah dirasai semasa UMNO gemilang dapat dikembalikan.

“Selepas pelbagai cabaran dan krisis yang dilalui, saya tak nafikan ramai yang masih berharap pada UMNO malah di kawasan saya, mana-mana saya pergi mereka masih yakin dan menaruh harapan pada UMNO untuk kembali kuat.”

Katanya, UMNO perlu diperkukuh dan diperkuat kembali bagi menjadi landasan perjuangan utama dalam hasrat mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Kita sudah lihat natijah selepas peralihan kerajaan dan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) gagal membentuk kerajaan maka pelbagai perkara telah berlaku khususnya menggangu-gugat keharmonian masyarakat.

“Kerana itu, kita perlu bersatu dan bermuafakat dalam satu perjuangan iaitu UMNO untuk masa hadapan kita dan anak cucu kita,” katanya lagi.

UMNO menyambut ulang tahun penubuhan ke-77 hari ini yang diraikan secara sederhana oleh 191 bahagian di seluruh negara dengan majlis doa selamat, bacaan Yassin dan tahlil. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427