MILAN: Barcelona, Real Madrid dan Juventus akan digantung daripada Liga Juara-Juara Eropah minggu ini, menurut laporan media di Itali.
Tiga gergasi Eropah itu berdepan tindakan disiplin susulan rancangan mereka membentuk Liga Super Eropah.
Mereka menegaskan yang mereka mempunyai hak untuk membentuk pertandingan baharu dan mendakwa UEFA serta FIFA tidak berhak menghalang.
Daripada 12 kelab yang menyertai rancangan untuk kejohanan itu, hanya Barcelona, Real Madrid dan Juventus yang masih tinggal walaupun pasukan lain sudah menarik diri selepas ia dibubarkan.
Sembilan kelab lain ialah AC Milan, Inter Milan, Atletico Madrid, Arsenal, Liverpool, Manchester United, Tottenham, Chelsea dan Manchester City, dengan masing-masing memohon maaf kepada UEFA serta berjanji menyumbang 12.9 juta pound (RM75.39 juta) untuk pembangunan akar umbi.
“Mereka yang patut takut ialah Real Madrid dan Barcelona. Saya tidak mahu bayangkan Liga Juara-Juara tanpa mereka tetapi ia boleh terjadi,” kata Presiden La Liga Javier Tebas.-BH