Ubai enggan letak harapan tinggi dalam ABK 2024/2025

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili tidak meletakkan harapan tinggi untuk bergelar pemenang dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK 2024/2025, April ini.

Pemain sedang meningkat itu berkata, pencalonannya dalam dua kategori sudah membawa erti yang cukup mendalam buatnya yang baharu dua musim beraksi dalam saingan Liga Super.

Pada musim ini, pertahanan serba boleh berusia 22 tahun yang lebih mesra dipanggil ‘Ubai’ itu tercalon dalam kategori pertahanan terbaik dan pemain muda terbaik.

“Pada ABK 2023, saya juga dapat dua pencalonan iaitu pemain muda terbaik dan pemain terbaik MFL, Alhamdulillah rezeki saya dianugerahkan sebagai pemain terbaik MFL pada ketika itu.

“Namun pada saingan kali ini, saya jangkakan ianya lebih mencabar untuk kategori pertahanan kerana ramai pemain yang lebih senior dan berpengalaman tersenarai.

“Manakala bagi kategori pemain muda terbaik, peluang nampak lebih terbuka dan seimbang untuk semua pemain memenangi kategori itu, cuma penyerang KL City FC, Haqimi Azim dijangka bakal memberikan saingan sengit.

“Apa-apapun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk bergelar pemenang dalam dua kategori itu, lagipun dicalonkan sudah dianggap satu penghargaan besar kepada saya.

“Tetapi jika ada rezeki, saya begitu bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak,” kata pemain kelahiran Kelantan itu.

Selain Ubaidullah, tiga lagi pemain TFC yang turut dicalonkan termasuk Shahrul Nizam Ros Hasni (kategori pertahanan), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid (tengah terbaik) serta Badrul Afzan Razali dicalonkan jurulatih terbaik.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464