KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, yang terpaksa berehat selama setahun akibat dua pembedahan belakang, optimis untuk kembali beraksi pada April ini bagi memastikan perlindungan ranking dunianya kekal di tangga ke-18.
Pemain berusia 25 tahun itu kini sudah kembali menjalani latihan penuh sejak dua minggu lalu di bawah pemantauan ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen, dan bersemangat untuk kembali ke gelanggang pertandingan.
Menurut Tze Yong, tahap kecergasan dan prestasinya kini berada pada kadar 60 peratus dan dia berharap dapat mencapai pemulihan penuh dalam beberapa minggu akan datang.
“Saya sudah memulakan latihan penuh di gelanggang sejak dua minggu lalu. Saya sangat positif walaupun hanya berlatih tiga kali seminggu dengan sesi kira-kira satu jam setiap kali,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.