ISTANBUL: Turkiye mengisytiharkan negara itu berkabung selama tiga hari bagi menghormati mereka yang terkorban di Gaza, umum Presiden Recep Tayyip Erdogan semalam.
Perkabungan nasional selama tiga hari diisytiharkan sebagai keperluan untuk menghormati ribuan syuhada, yang kebanyakannya adalah kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah,” kata Erdogan menerusi platform X.
“Di Turkiye, kami merasakan penderitaan hebat saudara Palestin di dalam hati kami,” kata Erdogan seperti dilaporkan Anadolu.
Sebelum ini, Mesir mengisytiharkan tiga hari berkabung nasional bagi mangsa serangan udara Israel ke atas sebuah hospital di Gaza.
Gaza kini sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk tanpa bekalan elektrik, manakala bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan kehabisan.
Sekurang-kurangnya 471 orang terbunuh dan 342 yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza lewat kelmarin, kata Kementerian Kesihatan Gaza semalam.
Israel, bagaimanapun, menafikan bertanggungjawab terhadap serangan udara itu.
Konflik bermula pada 7 Oktober apabila Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa, serangan mengejut pelbagai serampang yang termasuk bertubi-tubi pelancaran roket dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.
Ia berkata tindakan itu sebagai membalas dendam terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka Israel.
Tentera Israel kemudian melancarkan serangan balas terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa “gencatan senjata kemanusiaan segera” untuk mengurangkan “penderitaan manusia yang epik.”
Sekurang-kurangnya 3,478 rakyat Palestin setakat ini telah terbunuh, manakala angka itu berjumlah lebih 1,400 orang di Israel.
– AGENSI
-BeritaHarian