KUALA TERENGGANU: Kira-kira empat bulan sudah berlalu, namun Khairul Amin Yusof dari Kampung Pantai Kuala Ibai, di sini, mengakui dia masih dihantui kejadian disambar api yang menyebabkannya kini terlantar selepas koma lebih sebulan di hospital.
Tukang rumah berusia 28 tahun ini yang mengalami cedera serius dalam kejadian di sebuah bengkel motosikal pada 4 Ogos lalu, juga hilang punca pendapatan, sekali gus memaksa keluarganya bergelut menanggung kos rawatan serta keperluan hariannya.
Kejadian itu bukan sahaja mengubah hidupnya tetapi juga menyebabkan dia koma lebih sebulan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Saya kini terlantar, tak mampu lagi bekerja sebagai tukang rumah, buntu tiada sumber pendapatan. Walaupun masih bujang, saya bertanggungjawab menyara ibu dan empat anak saudara berusia empat hingga 16 tahun,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Ibunya, Kutom Salleh, 64, berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu menjadi tulang belakang keluarga selama ini, kini terlantar dan masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.
“Perbelanjaan keperluan Khairul seperti lampin pakai buang, susu khas, pelbagai jenis ubat-ubatan, selain perlu berulang-alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebanyak tiga kali seminggu, mencecah RM500 sebulan.
“Walaupun menerima sumbangan daripada kenalan dan keluarga terdekat, ia masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan Khairul,” katanya yang membuat beberapa permohonan bantuan kepada pihak bertanggungjawab, tetapi masih tiada tindakan lanjut.
“Saya harap ada pihak yang prihatin dan tampil membantu kami sekeluarga yang sangat memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.
-BeritaHarian