MIAMI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata perbincangan sedang diadakan dengan beberapa pihak berhubung pembelian TikTok dan dijangka membuat keputusan mengenai masa depan platform media sosial itu dalam tempoh 30 hari.
“Saya telah berbincang dengan ramai pihak mengenai TikTok dan terdapat minat yang besar terhadap TikTok,” kata presiden kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One ketika dalam perjalanan ke Florida.
Terdahulu, Reuters, memetik dua sumber yang arif mengenai perbincangan itu, melaporkan pentadbiran sedang merangka pelan untuk menyelamatkan TikTok, membabitkan syarikat perisian Oracle dan kumpulan pelabur luar bagi mengambil alih operasi platform media sosial itu.
Di bawah perjanjian yang sedang dirunding, pemilik TikTok yang berpangkalan di China, ByteDance, akan mengekalkan pegangan dalam syarikat itu.
Menurut salah satu sumber berkenaan, pengumpulan data dan kemas kini perisian akan dipantau oleh Oracle, yang kini menyediakan infrastruktur asas laman sesawang TikTok.
Bagaimanapun, dalam kenyataan kepada wartawan ketika penerbangan itu, presiden berkata beliau belum berbincang dengan Ketua Pegawai Teknologi Oracle, Larry Ellison, mengenai pembelian aplikasi berkenaan.
Ketika ditanya sama ada beliau sedang merangka perjanjian dengan Oracle dan pelabur lain untuk menyelamatkan TikTok, Trump berkata ia bukan dengan Oracle.
Menurutnya, banyak pihak sedang berbincang dengannya termasuk beberapa yang begitu berpengaruh, manakala mengenai pembelian aplikasi berkenaan, beliau berkemungkinan akan membuat keputusan dalam tempoh 30 hari.
“Kongres telah memberikan masa 90 hari. Jika kita dapat menyelamatkan TikTok, saya fikir itu adalah satu perkara yang baik,” katanya.
Menurut sumber, terma-terma perjanjian dengan Oracle masih belum muktamad dan berkemungkinan akan berubah.
Sumber mendakwa, skop penuh perbincangan masih belum ditetapkan dan mungkin membabitkan operasi TikTok di AS serta di rantau lain.
Kelmarin, National Public Radio melaporkan rundingan perjanjian untuk operasi global TikTok, dengan memetik dua sumber yang tahu mengenai perbincangan itu. Oracle bagaimanapun belum memberikan sebarang komen rasmi mengenai perkara itu.
Menurut sumber, rundingan perjanjian itu dijangka membabitkan beberapa pelabur AS yang sedia ada di dalam ByteDance.
Pelabur-pelabur berkenaan termasuk Pengarah Urusan Susquehanna International Group, Jeff Yass, General Atlantic, Kohlberg Kravis Roberts (KKR) dan Sequoia Capital.
Wakil-wakil dari TikTok, pelabur ByteDance seperti General Atlantic, KKR, Sequoia dan Susquehanna bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk memberi maklum balas mengenai perkara terbabit.
Sumber juga mendakwa pihak lain yang berminat memperoleh TikTok termasuk kumpulan pelabur yang diketuai oleh bilionair Frank McCourt dan satu lagi kumpulan membabitkan bintang YouTube Jimmy Donaldson atau lebih dikenali sebagai Mr Beast, tidak terbabit dalam rundingan dengan Oracle.
Di bawah terma perjanjian terbabit, Oracle akan bertanggungjawab menyelesaikan isu-isu keselamatan negara.
-REUTERS
-BeritaHarian