LONDON: Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min enggan berpindah ke Arab Saudi di sebalik minat dipamerkan Al-Ittihad.
Juara Liga Pro Saudi musim lalu itu menyediakan bidaan £51 juta (RM302 juta) untuk mendapatkan khidmat peledak utama dari Korea Selatan namun Spurs dijangka menolak tawaran itu.
Kelab Saudi itu sudah mengikat Karim Benzema dari Real Madrid dan pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante.
Al-Ittihad dilaporkan merisik penyerang itu dengan tawaran kontrak empat tahun dan bayaran gaji £26 juta (RM154 juta) semusim.
Namun Son dilihat mahu kekal bersama kelab utara London itu, yang mana dia mengumpul 145 gol dalam 372 perlawanan selain melonjakkan statusnya sebagai salah seorang pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Masih banyak perkara saya mahu lakukan dalam Liga Perdana. Duit bukanlah masalah buat saya sekarang kerana kebanggaan untuk bermain bola sepak dalam liga kegemaran saya lebih penting,” kata kapten Korea Selatan itu ketika tugasan antarabangsa.
“Saya akan bersedia apabila kembali ke Spurs nanti.”
Awal bulan ini, pemain berusia 30 tahun itu mengakui dia ‘bergelut’ musim lalu kerana terpaksa beraksi dalam kesakitan selama sembilan bulan.
Son, yang menjulang anugerah Kasut Emas EPL tahun lalu bersama Mohamed Salah dengan 23 gol, menjaringkan 10 gol musim lalu dan bergelut mencari prestasi terbaiknya.
Jika Son berpindah ke Al-Ittihad, dia akan bersatu semula dengan bekas pengurus Tottenham, Nuno Espirito Santo, yang mengemudi kelab Arab Saudi itu merangkul kejuaraan liga musim lalu.
– AGENSI
– BH