KUALA LUMPUR: Penyampai radio IKIM FM, Tyzo Xander terkejut mendengar pengakuan usahawan wanita yang juga anak pelakon, Normah Damanhuri iaitu Lydia Rosli yang berhasrat berkahwin dengannya.
Tidak pernah menyalahkan Lydia meluahkan perasaannya, Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris berkata, dia terima pengakuan Lydia dengan hati terbuka dan memahami sikap teman baiknya yang sentiasa berterus-terang.
“Ketika buat perkongsian, saya dan Lydia berada di lokasi sama bagi menjayakan satu acara. Jujurnya, saya terkejut dengan pengakuannya.
“Ramai tahu saya seorang yang ‘reserved’, tak banyak cerita soal peribadi dalam media sosial mahupun rakan media.
“Saya percaya orang patut tahu mengenai kerja dan bakat, jadi saya elak berkongsi soal peribadi. Tak nafikan, saya berkawan baik dengan Lydia dan sangat menyenanginya.
“Lydia juga banyak membantu saya. Jujurnya, saya ada terhutang budi dengannya, tapi biarlah, tak perlu saya kongsi apa yang Lydia sudah buat untuk saya.
“Namun, saya lebih suka perkara ini disimpan sebagai privasi. Saya tak marah bila dengar luahan hati Lydia, namun memilih tidak mengulas lanjut mengenai apa yang berlaku antara kami,” katanya ketika ditemui BH Online pada sesi fotografi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, pagi tadi.
Tyzo berkata, dia belum bersedia memikul tanggungjawab lebih besar sebagai suami mahupun ketua keluarga. Fokusnya kepada kerjaya sebagai penyampai radio IKIM FM.
“Saya belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sebab saya bukanlah lelaki yang sangat bertanggungjawab. Saya sedar kekurangan diri saya.
“Lagipun, saya ada anak angkat dan tanggungjawab saya membesarkannya.
“Menjadi suami bukan perkara mudah seperti semua orang fikir. Saya ada kelemahan diri dan tidak bersedia mendirikan rumah tangga, jadi lebih baik tunggu masa yang sesuai untuk memikul tanggungjawab ini,” katanya.
Tambah Tyzo, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk mendirikan rumah tangga dan bergelar suami.
Terdahulu, Tyzo dan Lydia hadir bersama pada majlis sambutan ulang tahun kedua pasaraya ST Rosyam Mart milik pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor di Sungai Buloh, Selangor.
Lydia atau nama sebenarnya, Nor Lydia Rosli mengakui ada menyimpan perasaan cinta yang menebal terhadap Tyzo dan berhasrat ingin berkahwin dengan lelaki kelahiran Perak itu, tahun lalu.
Kata Lydia, dia juga sudah puas menangis hampir setiap malam apabila terkenangkan perasaan cinta tulusnya terhadap Tyzo seolah-olah tidak berbalas dan kini, hanya menyerahkan urusan jodoh kepada ketentuan takdir.
Difahamkan, Tyzo dan Lydia pernah digosip bercinta apabila kerap muncul bersama dalam beberapa majlis, termasuklah Lydia juga sering berkongsi gambarnya dan Tyzo dalam media sosial.
-BeritaHarian