Tingkat prasarana, jumlah pakar bantu pulihkan pesakit mental

Estimate Reading Time: 2 minutes

Pendedahan ‘pengalaman buruk’ dialami pesakit kesihatan mental ketika mendapatkan rawatan di klinik dan hospital awam seperti laporan eksklusif BH hari ini diakui sendiri Persatuan Psikiatri Malaysia dan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) menunjukkan jalan masih jauh ke arah penyediaan rawatan pemulihan dan penyembuhan efisien yang menjadi hak kepada golongan itu. Malah, kita belum dapat keluar daripada persoalan asas, iaitu prasarana kesihatan lengkap dengan persekitaran kondusif dan tersendiri serta jumlah pakar mencukupi dan petugas kesihatan terlatih dan berempati.

-Advertisement-

-Advertisement-

Ia berlaku dalam kita menyedari masalah kesihatan mental semakin membimbangkan berdasarkan Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 mendedahkan satu pertiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas berdepan masalah mental dan ia semakin menular kepada usia lebih muda apabila seorang daripada 20 kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun turut mengalaminya. Tinjauan pada 2022 pula mendedahkan trend peningkatan cubaan bunuh diri atau pemikiran melakukannya dalam kalangan remaja terutama perempuan sejak lima tahun lalu.

Kita mengakui cabaran kesihatan mental turut dimasukkan dalam Kertas Putih Kesihatan dibentangkan di Parlimen, manakala dua rang undang-undang berkaitan pemansuhan kesalahan percubaan bunuh diri turut diluluskan pada tahun ini, sekali gus menjadikan ia sebagai langkah pertama diperlukan dalam usaha reformasi kesihatan. Namun, kita meyakini isu prasarana kesihatan dan tenaga pakar serta petugas itu perlu diselesaikan kerana ia sebenarnya prasyarat penting dalam penyediaan rawatan pemulihan kepada pesakit terbabit.

Justeru, kita meminta kerajaan terutama Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan fokus kepada kedua-dua komponen itu dengan komitmen awal perlu diperlihatkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 termasuk meningkatkan jumlah sumber tenaga kerana nisbah pakar psikiatri dan pesakit di negara ini berada pada tahap 1:75,000 berbanding apa dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 1:10,000. Bagi tujuan itu, KKM perlu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta pemegang taruh lain dalam meningkatkan jumlah daripada 600 pakar psikiatri sedia ada kepada 3,000 seperti yang sepatutnya.
Pada masa sama, kita menyeru rakyat Malaysia untuk menghapuskan prejudis dan stigma terhadap individu mengalami masalah kesihatan mental kerana ia dikesan antara punca ramai enggan serta takut mendapatkan rawatan, sekali gus mendedahkan pesakit dan keluarga mereka kepada risiko lebih buruk. Bagi tujuan itu, kita menyarankan KKM meningkatkan kempen kesedaran dengan pelbagai kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dalam kalangan pengamal kesihatan supaya isu kritikal ini dapat ditangani dan dirawat pada peringkat awal.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427