Tiga penjaga rumah transit bersama 24 migran Indonesia, Myanmar ditahan polis

Estimate Reading Time: 2 minutes

KAJANG: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menggempur sebuah rumah yang dijadikan tempat transit kepada warga asing yang memasuki dan ingin keluar dari negara ini secara haram.

Serbuan dijalankan Bahagian D3 (ATIPSOM) JSJ, kira-kira jam 9 malam tadi terhadap sebuah kediaman di Bandar Mahkota Cheras di sini, dengan dibantu sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Hasil serbuan membawa kepada penemuan 24 migran warga Indonesia dan Myanmar serta seorang wanita Indonesia yang berperanan sebagai penjaga rumah transit itu bersama dua lelaki yang menjadi pembantunya.

Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM JSJ, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata 17 warga Indonesia terdiri daripada 12 lelaki dan lima wanita serta iaitu lima lelaki dan dua wanita adalah di antara migran yang mendiami rumah transit berkenaan.

“Kesemua 24 migran warga Indonesia dan Myanmar ini terdiri daripada mereka yang baru tiba di negara ini dan mereka yang hendak keluar dari sini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut di kawasan Banting, Selangor.

“Kesemua migran ini dikumpulkan di rumah transit yang dikawal dan diuruskan penjaga yang juga suspek wanita warga Indonesia dan dua pembantunya.

“Penjaga juga akan bertindak sebagai pengatur dan penyelia kemudahan dari segi tempat tinggal dan makanan kepada migran yang ditempatkan di rumah ini sebelum migran terbabit keluar atau masuk ke Malaysia,” katanya kepada BH hari ini.

Soffian berkata, lokasi transit yang digunakan adalah rumah yang disewa penjaga rumah transit dan bayaran RM30 sehari dikenakan ke atas setiap migran yang tinggal di rumah tersebut.

“Berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap semua migran, bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM3,200 dikenakan untuk setiap migran yang ingin masuk atau keluar dari Malaysia.

“D3 ATIPSOM tetap komited untuk terus membanteras Aktiviti Penyeludupan Migran (SOM) di seluruh negara dan antara fokus kami adalah berkaitan kesalahan penyeludupan migran yang dipercayai keluar dan masuk dari Malaysia ke Indonesia dan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, tiga penjaga dan pembantu warga Indonesia berusia antara 28 hingga 50 tahun ditahan di bawah Seksyen 26A, Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala 24 lagi migran warga Indonesia dan Myanmar ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464