JOHOR BAHRU: Syarat kebenaran solat Jumaat yang diputuskan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengambil kira pelbagai perkara termasuk aspek keselamatan dan kesihatan jemaah bagi membendung penularan Covid-19.
Sehubungan itu Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, umat Islam di negeri ini diminta patuh dan tidak mempertikaikan syarat kebenaran yang turut mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Katanya, semua ketetapan yang membabitkan prosedur operasi standard (SOP) menangani Covid-19 seperti mengehadkan bilangan jemaah sudah diputuskan oleh mufti dan ulama yang berautoriti di Malaysia.
“Akur dan patuhlah tanpa perlu mempersoalkannya lagi. Islam itu agama yang indah, tidak pernah memberatkan atau membebankan umatnya hingga mengakibatkan kepada mudarat yang lebih besar.
“Kita sekarang dalam situasi wabak Covid-19 yang merbahaya. Ramai yang sakit dan terlantar di hospital kerana dijangkiti serta ramai yang meninggal dunia akibatnya. Bila wabak menular, semua orang wajib berperanan membendungnya.
“Cara membendungnya termasuk mengikut ketetapan yang ditetapkan oleh pihak berwajib. Begitu juga solat Jumaat di masjid yang perlu dihadkan bilangan jemaahnya. Bagi mereka yang tidak terpilih berjemaah di masjid, hendaklah menunaikan solat zohor di rumah. Tidak wajib lagi baginya bersesak-sesak ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas rasa tidak puas hati seorang lelaki mengenai bilangan jemaah untuk solat Jumaat di negeri ini yang dihadkan, yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Lelaki berkenaan mendakwa mufti perlu memikirkan cara bagi jemaah dapat bersolat Jumaat dengan sempurna dan selesa susulan gambar ada jemaah bersolat Jumaat di luar perkarangan masjid di bawah terik matahari di negeri ini berikutan tidak dibenarkan masuk ke masjid berikutan sudah cukup bilangan jemaah dibenarkan.
Pada 8 Februari lalu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi mengumumkan keputusan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu namun hanya dihadkan kepada 40 jemaah sahaja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 9 Februari lalu hingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Mengulas lanjut, Yahya berkata, umat Islam perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan, contohnya apabila mereka menghadapi keuzuran, diberikan keringanan untuk mendirikan solat dalam keadaan duduk jika tidak berupaya berdiri dan berbaring jika tidak lagi boleh duduk.
Katanya, begitu juga pelbagai keadaan dalam bersolat seterusnya sehingga ke tahap pergerakan kelopak mata dan niat dalam hati, namun solat tetap wajib dilaksanakan.
“Al-Quran dan hadis nabi menegaskan tanggungjawab semua menghindarkan penularan wabak yang memudaratkan seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud ‘janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan’.
“Mungkin sebahagian jangkitan dan kematian yang sepatutnya boleh dielakkan akibat kedegilan kita. Jika betul ada jangkitan yang berlaku ke atas orang lain akibat kelalaian dan kedegilan kita, bersediakah kita menjawabnya di Padang Mahsyar nanti,” katanya.
-Metro