KLANG: Kerajaan menyasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara, pada 2025.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata setakat ini, langkah itu dilaksanakan secara secara berperingkat, daripada premis tetap kepada premis perniagaan, termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan.
Beliau berkata, pihaknya memberi ruang kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelaksanaan langkah itu, termasuk kadar caj yang akan dikenakan serta kekerapan serahan kutipan bahan berkenaan.
“Jika peniaga masih membekalkan beg plastik pada 2025, pendekatan kita bukan hanya denda. Kita ada insentif untuk menggalakkan peralihan ini.
“Perincian mengenainya akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media, hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan beg kitar semula MADANI dan kempen tanpa beg plastik di Wisma 99 Speed Mart, dekat sini.
Turut hadir, Pengarah Urusan 99 Speed Mart Sdn Bhd, Lee Thiam Wah.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan adalah negeri yang ke hadapan dalam pelaksanaan kempen bebas beg plastik.
Beliau berkata, kempen bebas plastik itu adalah pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di negara ini.
“Sampah plastik adalah satu masalah besar di negara ini, malah Malaysia berada di antara 10 negara dunia yang berdepan masalah sampah plastik tidak terurus.
“Berdasarkan laporan Tabung Alam Sedunia (WWF), penggunaan bungkusan plastik makanan sahaja di Malaysia dianggarkan mencecah 148,000 metrik tan pada 2020. Ini bukan satu rekod yang harus dibanggakan,” katanya. – Berita Harian