KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menahan seramai 43 pesalah selain mengeluarkan kompaun kepada 356 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun berkata tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri, semalam.
“Semalam PDRM menahan 43 individu dengan 38 daripadanya direman manakala lima lagi diberikan jaminan polis, ” katanya pada sidang media PKPB selepas mesyuarat khas menteri-menteri di Putrajaya, di sini hari ini.
Pada masa sama Ismail Sabri, berkata PDRM membuat 69,507 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB di seluruh negara.
Sebanyak 3,382 pasukan pematuhan membuat pemantauan membabitkan seramai 17,417 anggota yang mengadakan 147 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 147,327 kenderaan.
Secara keseluruhan sebanyak 220 kompaun dikeluarkan di lapangan dan daripada jumlah itu sebanyak 134 kompaun dikeluarkan melalui sekatan jalan raya.
“Antara negeri yang mencatatkan pengeluaran kompaun tertinggi atas cubaan rentas negeri ialah Perak dengan 40 kompaun, Selangor (29) dan Pulau Pinang (23).
“Justeru semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19, ” katanya.
-BH