Tiada bukti cukai punca penyeludupan rokok, kata pakar

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang bekas pegawai Kementerian Kesihatan dan seorang ahli ekonomi membantah saranan bekas timbalan menteri kewangan agar harga rokok dikurangkan kepada RM8 sekotak untuk mengekang pasaran gelap.

-Advertisement-

Pakar kawalan tembakau, Dr Zarihah Mohd Zain, yang membantu merangka peraturan merokok, berkata penggubal undang-undang perlu bergantung pada bukti saintifik sebelum membuat keputusan mengenai cukai tembakau untuk memerangi penyeludupan haram.

“Apa jaminan RM8 sekotak boleh selesaikan masalah pasaran gelap? Adakah terdapat kajian yang menyokong cadangan ini?” katanya, menggesa kerajaan menjelaskan cadangan tersebut.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, berkata kerajaan boleh menjalankan program cubaan dua tahun supaya rokok dijual pada harga RM8 sekotak, harga yang sama dengan rokok seludup.

Ahmad berkata 64% rokok yang dijual adalah stok haram, sementara hanya 36% dikenakan cukai, menyebabkan kerugian hasil tembakau sebanyak RM5 bilion setiap tahun.

Bagaimanapun, Zarihah berkata dakwaan mengatakan cukai tembakau yang lebih tinggi boleh memburukkan lagi penyeludupan tidak disokong sebarang bukti.

Tambahan pula, industri tembakau menggunakan ancaman itu di banyak negara untuk menakut-nakutkan kerajaan dan untuk mengelakkan sebarang kenaikan cukai, katanya.

Goh Lim Thye, seorang pensyarah ekonomi kanan di Universiti Malaya, bersetuju. Katanya, menaikkan cukai tembakau bukanlah penyebab utama perdagangan haram.

-Advertisement-

“Faktor bukan harga seperti status tadbir urus, rangka kerja kawal selia yang lemah, dan ketersediaan rangkaian pengedaran tidak rasmi nampaknya faktor yang jauh lebih penting,” katanya.

Goh berkata pasaran gelap secara relatifnya lebih besar di negara-negara yang mengenakan cukai dan harga yang rendah, dan agak lebih kecil di negara-negara dengan cukai dan harga rokok yang lebih tinggi.

Risiko daripada menurunkan harga rokok adalah ia mungkin mendorong penggunaan yang lebih tinggi.

Satu tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan pada 2015 menunjukkan kira-kira 5 juta atau 22.8% rakyat berumur 15 tahun ke atas merupakan perokok dan kematian akibat merokok menyumbang sekitar 20% daripada semua kematian setiap tahun.

Tambah beliau, lebih 15% kemasukan ke hospital adalah membabitkan penyakit yang berkaitan dengan merokok.

Beliau menyarankan kerajaan perketat penguatkuasaan dan mengenakan hukuman lebih berat terhadap penyeludup seperti penjara mandatori.

“Cara lain yang berkesan adalah mendidik masyarakat berhenti merokok. Tidak akan ada aktiviti penyeludupan sekiranya tiada permintaan,” tambahnya. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427