The Pocket Rocketman idam gelaran dunia terakhir

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berhasrat untuk mengulangi pencapaian meraih pingat emas pada penampilannya di Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos ini.

-Advertisement-

Glasgow berkemungkinan menjadi penampilan terakhir buat Azizulhasni di pentas kejohanan berprestij berkenaan dan atlet berusia 35 tahun yang pernah meraih kilauan emas pada edisi 2017 di Hong Kong dalam acara keirin itu turut mahu menyasarkan warna pingat sama dalam acara pecut pada kali ini.

“Kalau boleh saya nak menang emas. Mungkin ini Kejohanan Dunia terakhir saya, jadi harap dapat paling tidak satu emas dalam mana-mana acara – pecut ataupun keirin… tak kisah mana-manapun.

“Kebiasaannya saya memberi tumpuan kepada keirin sahaja tetapi selepas pembedahan (jantung), prestasi dalam acara pecut banyak meningkat dan saya tak pernah terfikir yang saya boleh meningkat dalam pecut kerana ia memerlukan kekuatan baik dari segi fizikal dan semuanya.

“Tapi itu semua kuasa Allah, saya dapat meningkat sebanyak itu. Saya nak tengok prestasi saya dalam acara pecut kerana di Piala Negara-Negara, pelumba Jepun dengan Harrie Lavreysen (Belanda) memberi tentangan sengit.

“Saya boleh mengalahkan dia dan mungkin boleh memberi tentangan sama atau lebih baik daripada itu… mungkin juga boleh menewaskan Harrie, itu saya tak tahu dan kita tengok bagaimana nanti,” kata Azizulhasni.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Azizulhasni atau dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ berkata, beliau lebih bersemangat untuk memburu kilauan emas di Glasgow selepas pencapaiannya meraih dua emas, masing-masing dalam acara pecut dan keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Nilai, bulan lalu.

Bagaimanapun, Azizulhasni yang sudah mempunyai koleksi 12 emas di pentas Asia ketika ini sedar cabaran yang bakal diberikan Lavreysen di Glasgow selepas seterunya yang juga pemenang emas dalam acara pecut di Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mengecewakan dirinya di final keirin Piala Negara-Negara di Jakarta, Februari lalu.

“Selepas prestasi di ACC, memang saya ada semangat untuk menewaskan Lavreysen di Kejohanan Dunia. Di Piala Negara-Negara, walaupun saya belum berada di tahap yang baik tetapi kami bersaing sengti di final keirin.

“Jadi apabila melihat prestasi di ACC, saya rasa macam wow!. Ia seperti satu petunjuk terbaik untuk saya bersaing dengannya kerana ketika berlumba dengannya sebelum ini, prestasi saya seakan masih jauh di bawah apatah lagi, mengalami masalah jantung dan pelbagai masalah lain.

“Apabila masalah jantung selesai dan saya pula semakin cergas, memang saya menantikan untuk berlumba dengannya. Sudah tentu dalam perlumbaan, apapun boleh berlaku tetapi paling tidak, ia satu sinar baharu untuk saya mencuba sesuatu,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427