Thailand tawarkan kuarantin di resort golf, tarik pelancong

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGKOK: Thailand menawarkan pengalaman kuarantin yang unik kepada pelancong asing memasuki negara itu, apabila mereka boleh memilih untuk menjalani tempoh kuarantin 14 hari di resort-resort golf.

-Advertisement-

Dalam usaha meningkatkan semula sektor pelancongan yang merudum akibat Covid-19, kerajaan Thailand telah meluluskan enam resort golf sebagai pusat kuarantin, termasuk tiga di Kanchanaburi dan masing-masing satu di Nakhon Nayok, Phetchaburi dan Chiang Mai.

Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) menyatakan, pelancong asing yang menjalani kuarantin di resort golf tersebut, akan dibenarkan untuk bermain golf dan bergerak dengan bebas, berbanding hanya duduk di bilik mereka ketika tempoh dua minggu kuarantin mandatori tersebut.

“Thailand kekal sebagai syurga pemain golf, walaupun ketika pandemik Covid-19.

“Dengan jumlah pemain yang kurang, kini lebih mudah untuk membuat tempahan masa bermain, dan rentak permainan yang lebih cepat dari biasa dan kurangnya kerosakan akibat kurang penggunaan sejak tahun lepas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan, pelancong asing yang memilih untuk kuarantin golf itu memerlukan visa, sama ada Visa Pelancongan Sekali Masuk atau Visa Pelancongan Khas, insurans perjalanan dan perubatan dan juga sijil kemasukan.

Tambah TAT, padang golf di Thailand juga mengekalkan nilai terbaik untuk wang mereka dan juga tawaran pakej khas kuarantin dengan diskaun yuran padang dan kemudahan khas lain.

Kuarantin golf ini merupakan usaha terkini bagi menarik pelancong asing ke negara itu, sewaktu pandemik Covid-19.

-Advertisement-

Tahun lepas, Thailand menawarkan Visa Pelancongan Khas untuk pelancong asing jangka panjang, bagaimanapun ia tidak mendapat sambutan seperti diharapkan.

Pada 2019, Thailand berjaya menarik kira-kira 40 juta pelancong yang membelanjakan 1.91 trilion baht. Tahun 2020 dari Januari ke November, jumlah pelancong asing hanya 6.7 juta, menurun 81 peratus berbanding 2019, dengan 6.69 juta daripada jumlah itu tiba pada suku pertama tahun itu, sebelum sekatan perjalanan dikenakan pada April.

Bagi tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 271 kes baharu Covid-19, dengan dua lagi kematian, menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu kepada 11,262 kes dan 69 kematian.

Daripada 271 kes baharu tersebut, sejumlah 259 melibatkan kes jangkitan tempatan termasuk 181 menerusi aktiviti penyaringan aktif dan 12 kes import.

Dua kematian dilaporkan di negara itu termasuk seorang warga Britain berusia 71 tahun dengan tahap kesihatan rendah dan seorang warga Thai yang menghidapi kencing manis.

Penularan terkini di Thailand sejak pertengahan Disember telah merebak ke 60 wilayah, mencatatkan 7,025 kes dengan sembilan kematian.

-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427