Thailand pertingkat saringan pengembara cegah wabak mpox

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand meningkatkan saringan ke atas pengembara yang masuk ke negara itu bagi mencegah wabak mpox, menurut seorang pegawai.

-Advertisement-

Ini susulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan ‘kecemasan kesihatan awam kebimbangan antarabangsa (PHEIC)’ selepas banyak kes mpox ditemui di beberapa negara Afrika.

Menurut jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit (DDC), Dr Weerawat Manosuthi, jabatan itu kini memantau dengan teliti keadaan di negara ini.

“Keadaan di Thailand masih terkawal. Mpox dianggap sebagai penyakit berbahaya di bawah Akta Penyakit Berjangkit BE 2558 (2015),” katanya sambil menambah bahawa akta itu memerlukan pihak berkuasa kesihatan awam untuk dimaklumkan mengenai sebarang kes yang dikesan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan DDC, ia mendapati terdapat 827 kes, termasuk 11 kematian bermula 1 Jan 2022, hingga semalam dengan golongan lelaki membentuk majoriti kes (97.46 peratus).

“Thailand menyaksikan penurunan kes mpox berbanding tahun lalu iaitu satu pencapaian yang dikaitkan dengan penyebaran maklumat yang aktif kepada orang ramai.

“Lebih penting lagi, jabatan itu mengambil sikap berhati-hati dalam pengendalian kes,” katanya.

Jelasnya lagi, ketika ini strain mpox utama yang menjejaskan negara di Afrika dipanggil ‘clade I’ yang lebih berbahaya daripada strain lain.

-Advertisement-

“Nasib baik, strain itu masih belum dikesan di Thailand.

“Kami menyediakan langkah yang perlu untuk mencegah jangkitan penyakit, termasuk di sempadan dan lapangan terbang antarabangsa.

“Mereka mesti melaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan awam jika mempunyai simptom mpox,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar garis panduan perubatan ke semua hospital di negara ini bagi memastikan pemantauan rapi dan mengenal pasti sebarang kes disyaki ‘clade I’.

“Jabatan juga menyediakan pasukan untuk menyiasat kes disyaki dan bertanggungjawab menyediakan ubat diperlukan serta menjalankan ujian makmal di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pada 14 Ogos lalu, terdapat peningkatan demam berdarah di negara Afrika tengah DR Congo dan lain-lain hingga membentuk PHEIC.

“Kemunculan clade baharu mpox ini merebak dengan cepat di timur (DR Congo) dan laporan kes di beberapa negara jiran sangat membimbangkan.

“Selain daripada wabak clade mpox lain di DRC dan negara lain di Afrika, adalah jelas bahawa tindak balas antarabangsa yang diselaraskan diperlukan untuk menghentikan wabak ini dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
-AGENSI
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427