TH dijangka beri agihan hibah stabil, mampan lebih tiga peratus

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Hibah Lembaga Tabung Haji (TH) bagi 2024 dijangka stabil dan mampan pada kadar tiga peratus atau tinggi sedikit daripada angka itu.

-Advertisement-

Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata jangkaan itu dilihat dalam aspek strategi pelaburan TH yang lebih berhati-hati dari segi pendedahan kepada jenis pelaburan yang berisiko tinggi dan lebih memfokus kepada pelaburan domestik.

“Saya jangkakan setara dengan hibah tahun sebelumnya. Antara faktor utama adalah ketidaktentuan landskap ekonomi global yang masih lagi berterusan, faktor geopolitik, serta ketidaktentuan dalam dasar monetari negara maju terutama AS. Begitu juga ketidaktentuan dalam pasaran modal antarabangsa.

“Dari sudut domestik, nilai ringgit masih tidak menentu, begitu juga dengan pergerakan pasaran ekuiti di Bursa Malaysia,” katanya kepada BH.

Pada 2023, TH mengumumkan kadar agihan keuntungan (hibah) sebanyak 3.10 peratus bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2023, membabitkan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM2.72 bilion, yang dimanfaatkan lebih 9.15 juta pendeposit

Sejak penubuhannya, TH telah mengagihkan keuntungan berjumlah RM42.88 bilion kepada pendeposit.

Kadar hibah bagi tahun 2023 adalah konsisten dengan kadar hibah pada 2022, yang juga 3.10 peratus.

Mengulas lanjut, Irwan Shah berkata, jika dilihat pada 2011 sehingga 2014, TH berjaya memberikan kadar hibah yang tinggi sekitar enam hingga tujuh peratus, yang mana ketika itu, landskap ekonomi global lebih teratur secara relatif dan pengurusan ekonomi Malaysia yang agak mantap.

“Indeks FBM KLCI pada satu ketika pernah berada pada tahap melebihi 1,800 mata, manakala nilai ringgit juga kukuh sekitar RM3.10 hingga RM3.30 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Dengan ketidaktentuan ekonomi global pada 2024 dan pergerakan ringgit yang kurang konsisten, ia sememangnya akan memberikan impak kepada pulangan pelaburan TH, sekali gus mempengaruhi kadar hibah yang akan diagihkan,” katanya.

-Advertisement-

Ditanya sama ada persekitaran pasaran saham domestik yang mencabar memberi kesan kepada agihan hibah TH, beliau menjelaskan, berdasarkan peruntukan aset strategik TH, pelaburan membabitkan pasaran saham hanyalah sekitar 22 peratus.

Justeru, katanya, dasar mempelbagaikan portfolio pelaburan adalah yang terbaik, dengan menumpukan kepada aset pendapatan tetap seperti sukuk dan hartanah untuk menyokong kadar hibah yang kompetitif.

“Dasar untuk meningkatkan lagi portfolio pelaburan luar dalam pelaburan hartanah mungkin boleh juga dipertimbangkan di masa hadapan.

“TH juga perlu meningkatkan aktiviti perniagaan dan pelaburan di masa hadapan dengan penumpuan kepada pendedahan kepada pasaran antarabangsa.

“Perlu ada dasar pelaburan yang lebih komprehensif dan holistik, selain meningkatkan lagi aktiviti perniagaan, baik di peringkat domestik mahupun di peringkat global,” katanya.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, hibah TH dijangka tidak kurang daripada prestasi tahun-tahun sebelumnya, memandangkan mandat pelaburannya adalah yang berisiko rendah dan sederhana bagi mengembangkan simpanan pendepositnya secara mampan.

“Peranan dan mandat Pemodalan Nasional Bhd (PNB) dan TH ada perbezaan. Objektif PNB ialah bagi meningkatkan kekayaan masyarakat Bumiputera manakala mandat TH ialah menguruskan simpanan untuk haji dan mengendalikan urusan ibadat haji jemaah Malaysia.

“Justeru, setiap institusi pelaburan akan menyusun rangka pelaburannya mengikut mandat masing-masing dan perbezaan alokasi aset ini sudah tentu akan memberi pulangan pelaburan yang berbeza,” katanya.

Ahmed Razman berkata, pelaburan yang disuntik TH memberi tumpuan kepada pelaburan yang memiliki potensi penjanaan pendapatan yang berdaya tahan, selamat dan mampan di samping memilik tahap kecairan yang sesuai seperti instrumen pendapatan tetap serta pasaran wang.

“Strategi pelaburan TH berasaskan alokasi aset strategik (SAA) meliputi empat kelas aset iaitu pendapatan tetap (separuh daripada aset bawah pengurusan atau AUM); ekuiti (satu perempat daripada AUM), hartanah (1/10 daripada AUM); dan tunai (1/20 daripada AUM),” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427