Teruja naik MRT, Tun M rasa macam berada di negara maju

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji dan kagum terhadap prasarana dan kemudahan yang terdapat dalam perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).

-Advertisement-

Beliau dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mendapati kemudahan yang disediakan adalah amat baik dan disifatkan setaraf dengan negara maju ketika mereka mencuba sistem pengangkutan berkenaan, kelmarin.

“Umumnya saya dapati seolah-olah saya berada di negara maju. Perjalanannya amat baik. Demikian juga kemudahan yang disedia untuk pelanggan. Stesen juga cukup besar dan dilengkapi dengan lif dan eskalator.

“Saya percaya kemudahan rel ini akan disambut baik oleh rakyat jika kos yang amat tinggi tidak dipedulikan.

“Tahniah saya ucap kepada anggota pengurusan MRT Sungai Buloh – Putrajaya,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Sementara itu, menurut Mahathir, ketika mencuba perkhidmatan MRT, beliau dan isteri disambut oleh petugas yang turut mengiringi perjalanan beliau.

-Advertisement-

“Pada hari ketiga raya saya dan isteri bersama kawan-kawan mencadang mencuba MRT dari Sungai Buloh ke Putrajaya.

“Staff MRT sambut baik cadangan kami. Mereka turut bersama sepanjang jalan. Ini memberi peluang kepada saya bertanya beberapa soalan berkenaan prestasi MRT ini,” katanya.

Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lalu bagi memudahkan pengguna berulang alik dari ibu kota ke Putrajaya.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebelum ini memaklumkan, laluan sepanjang 57.7 kilometer itu keseluruhannya dilengkapi 36 stesen, iaitu 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah, dirangkaikan dengan lapan stesen yang membolehkan pengguna menukar kepada perkhidmatan monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM).

MRT Laluan Putrajaya Dua dibangunkan dengan kos RM30.53 bilion, melalui kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya.

Perkhidmatan dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, yang dikendalikan anak syarikat Prasarana, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) itu menggunakan 49 tren empat gerabak, yang berkapasiti 1,200 orang. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427