Tentera Sudan henti rundingan gencatan senjata

Estimate Reading Time: 2 minutes

KHARTOUM: Pasukan tentera Sudan meletupkan pangkalan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dengan artileri di Khartoum semalam selepas menarik diri daripada rundingan gencatan senjata.

-Advertisement-

Tentera Sudan menuduh RSF gagal menunaikan komitmen mereka di bawah lanjutan gencatan senjata lima hari bermula kelmarin diusahakan Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi sebagai pengantara.

Negara pengantara pula menyalahkan kedua-dua pihak kerana melanggar gencatan senjata yang sepatutnya membolehkan koridor selamat diwujudkan untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.

Penduduk memberitahu AFP, di utara dan selatan ibu negara, pangkalan utama RSF diketuai Mohamed Hamdan Daglo, diserang oleh tentera yang setia kepada ketua tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan.

Seorang saksi berkata terdapat tembakan artileri berat dari kem tentera di utara Khartoum, pada hari ke-47 perang yang menurut penyelidik sudah meragut lebih 1,800 nyawa.

Saksi lain memberitahu berlaku letupan artileri di kem RSF di al-Salha di selatan Khartoum – pangkalan separa tentera dan senjata terbesar di bandar itu.

Pengantara rundingan itu, yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi, mengakui pelanggaran berulang tetapi menangguhkan tindakan mengenakan sebarang sekatan.

Pegawai kerajaan Sudan berkata tentera bertindak kerana pemberontak tidak pernah melaksanakan satu pun syarat gencatan senjata jangka pendek yang memerlukan pengunduran mereka dari hospital dan bangunan kediaman.

Sementara itu, negara pengantara mengakui gencatan senjata tidak dipatuhi dengan sempurna, tetapi kedua-dua pihak masih membenarkan usaha kemanusiaan selanjutnya.

-Advertisement-

“Pertempuran memuncak minggu ini di Khartoum dan di wilayah barat Darfur, dengan tentera bersedia untuk berjuang sehingga mencapai kemenangan,” kata Burhan semasa lawatan ke ibu negara.

Ketua RSF, Daglo, yang suatu ketika dulu adalah timbalan Burhan tetapi kini bertukar menjadi musuh, berkata mereka akan memperjuangkan hak mereka untuk mempertahankan diri dan menuduh tentera melanggar gencatan senjata.

Jurucakap Kesatuan Afrika (AU), Mohamed El Hacen Lebatt, memberitahu AFP bahawa penggantungan rundingan itu seharusnya tidak menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan.

Menurut Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata, sejak pertempuran meletus pada 15 April, lebih 1,800 orang terbunuh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal dan lebih 425,000 penduduk Sudan melarikan diri ke negara jiran manakala lebih separuh daripada 25 juta orang penduduk kini memerlukan bantuan dan perlindungan.

Seluruh daerah Khartoum tidak lagi mempunyai bekalan air bersih, dan elektrik hanya dipasang untuk beberapa jam seminggu, manakala 75 peratus hospital di zon pertempuran tidak berfungsi.

Kementerian Kesihatan berkata sembilan kemudahan kesihatan tidak beroperasi di negeri Jazira, di selatan Khartoum walaupun gencatan senjata diisytiharkan.

– AFP

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427