Tengku Zafrul adakan libat urus PPN bersama kerajaan Sarawak

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuching: Satu sesi libat urus mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara maya, diadakan antara Kementerian Kewangan dan pemimpin kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), lewat petang hari ini.

-Advertisement-

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan malam ini memaklumkan, sesi satu jam itu yang dipengerusikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Menteri Penyelaras PPN, bertujuan untuk memperkukuhkan keberkesanan PPN.

Barisan pemimpin GPS dalam sesi itu diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan ketiga-tiga timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda di kementerian yang sama, Datuk Dr Penguang Manggil.

“Pihak Kerajaan Sarawak telah memberi beberapa input daripada perspektif Sarawak, ke arah memperkukuhkan ekonomi negeri, dengan mengambil kira impak pandemik Covid-19 dan sumbangan kepada ekonomi nasional,” menurut kenyataan itu.

-Advertisement-

Antara perkara dibentangkan termasuk program pemberian vaksin di Sarawak yang sedang berjalan lancar, program pembangunan infrastruktur, pembangunan infrastruktur ICT, industri pengeluaran dan pelaburan asing, sebagai teras untuk mempertingkatkan ekonomi Sarawak.

Faktor teras juga merangkumi potensi pertanian berdasarkan ‘internet of things’ (IOT), dan ekonomi berasaskan kelestarian sumber dan keselamatan di perbatasan yang amat panjang antara Sarawak dan Kalimantan, yang mempunyai kesan mendalam ke atas sosioekonomi Sarawak.

Turut disentuh adalah mengenai pelaksanaan fasa-fasa PPN, yang harus disesuaikan dengan keadaan di Sarawak yang hampir sama besar dengan Semenanjung, menurut kenyataan itu.-METRO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427