Tempoh menunggu tunai haji lebih singkat menjelang 2030

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tempoh menunggu menunaikan haji dijangka dapat dipendekkan pada masa akan datang, sejajar usaha kerajaan Arab Saudi meningkatkan jumlah jemaah kepada lima juta orang menjelang 2030 berbanding dua juta pada waktu ini.

-Advertisement-

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata usaha kerajaan Arab Saudi akan membolehkan masa menunggu mengerjakan haji dapat dipendekkan.

“Apa pun usaha untuk memendekkan tempoh menunggu menunaikan haji, ia tidak boleh lari daripada keputusan pihak Kerajaan Arab Saudi meluluskan kuota haji tahunan untuk setiap negara termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kuota rasmi negara pada musim haji 1445H/2024 seperti diumumkan sebelum ini adalah 31,600 orang jemaah.

Beliau berkata, kerajaan sudah membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah itu berdasarkan perangkaan penduduk terkini negara.

-Advertisement-

“Kerajaan turut memohon kuota tambahan setiap tahun, namun permohonan kajian semula kuota tahunan dan pemberian kuota tambahan tertakluk kepada keputusan Kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Adnan, Zulkifli berkata, sehingga kini sembilan bakal haji kategori B40 dan 50 bakal haji kategori M40 sudah membuat bayaran penuh.

“Sejumlah 221 orang lagi bersetuju menerima sebahagian sahaja daripada Bantuan Kewangan Haji.

“Jumlah keseluruhan jemaah haji yang menolak tawaran bantuan kewangan haji akan diketahui selepas selesai semua bakal haji menjawab tawaran tunai haji,” katanya.

Menyentuh subsidi haji, beliau berkata, dasar klasifikasi pendapatan bagi jemaah haji terpilih mengikut kategori B40, M40 dan T20 adalah berasaskan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan pangkalan data sedia ada.

“Tabung Haji (TH) juga mengambil maklum usaha kerajaan membina Pangkalan Data Utama (PADU) yang menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah dalam usaha menyalurkan subsidi secara adil dan bersasar.

“TH akan mempertimbang untuk menambah baik proses mengklasifikasikan bakal jemaah haji bagi tujuan pemberian Bantuan Kewangan Haji bersasar, selari dengan usaha kerajaan,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427