KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju Prosedur OSC 3.0 Plus ditambah baik dengan menetapkan hanya lima agensi saja yang wajib dirujuk untuk proses kelulusan berbanding 19 agensi sebelum ini.
OSC 3.0 Plus adalah sistem dibangunkan bertujuan membantu pihak Principal Submitting Person (PSP) atau Submitting Person (SP) untuk mengemukakan permohonan pelan pemajuan secara atas talian, bayaran melalui atas talian (PBTPay) dan membolehkan agensi teknikal mengulas permohonan secara maya serta seterusnya keputusan diperoleh melalui sistem ini.
Tempoh masa kelulusan yang ditetapkan dalam OSC 3.0 Plus juga akan dikurangkan daripada 42 hari sebelum ini kepada 21 hari.
Perkara itu antara dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, semalam.
Dalam kenyataannya, Perdana Menteri berkata, penambahbaik prosedur itu bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan, sekali gus memudahkan urusan perniagaan.
“Usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan ini secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara,” katanya di Facebook beliau, hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri beberapa Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat turut membincangkan cadangan pengukuhan sektor pertanian terutama keperluan menetapkan keluasan guna tanah bagi tujuan pengeluaran pertanian dan sumber makanan negara.
“Dalam hal ini, penekanan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti pertanian. MPFN juga berpandangan aspek kawal selia pengurusan dan pembangunan ladang penternakan perlu terus diperkasakan menerusi pemakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam,” katanya.
Katanya, MPFN turut cakna dengan isu banjir kilat yang sering meresahkan rakyat, justeru Pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah perlu diaplikasikan sebagai salah satu solusi dalam menangani isu banjir kilat.
“MPFN akan terus memastikan perancangan pembangunan bandar bergerak kepada Perbandaran Madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran yang berdaya huni.
“Kerajaan kekal komited meneruskan kerjasama dan penyelarasan pembangunan di antara kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri demi mencapai agenda membangun negara Madani,” katanya. – Berita Harian