PUTRAJAYA: Dua pengendali aplikasi mesej dalam talian, Telegram dan Tencent (WeChat) sudah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, kedua-dua platform terbabit dijangka memenuhi syarat yang diperlukan dalam tempoh terdekat.
“MCMC ingin mengumumkan bahawa Telegram dan Tencent (WeChat) sudah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk mereka beroperasi di Malaysia.
“MCMC memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
MCMC berkata, keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 itu bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial.
Kerangka terbabit dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan supaya melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
“Rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik serta perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya,” katanya.
Justeru, MCMC mengingatkan semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan supaya mengemukakan permohonan mereka dengan segera sebelum tarikh akhir pada 31 Disember ini.
“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia adalah perkara yang mahu dielakkan oleh semua pihak.
“MCMC juga komited memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan mereka berjalan lancar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos lalu.
Penguatkuasaan itu selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet di negara ini, mesti mematuhi undang-undang Malaysia.
-BeritaHarian