Tealive berkembang ke Asia Barat, buka cawangan di UAE

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Loob Holding Sdn Bhd, pemilik jenama teh Tealive, menandatangani perjanjian francais induk dengan konglomerat terkemuka dari Dubai, Eureka Restaurant and Café untuk membawa jenama itu ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-Advertisement-

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo, berkata pasaran UAE sangat menarik dengan landskap makanan dan minuman yang pesat berkembang.

“Bekerjasama dengan Eureka menjadi kunci untuk membawa pengalaman minuman Tealive ke UAE, dengan menggabungkan inovasi kami bersama budaya tempatan.

“Kami yakin bahawa kerjasama ini akan menjadi batu loncatan kepada kejayaan pengembangan cawangan Tealive di Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan.

Eureka Restaurant and Café diwakili oleh pengasas kumpulan, Abdulwahab Ilyas Galadari, yang juga ahli Lembaga Pengarah Ilyas & Mustafa Galadari (IMG) Group.

-Advertisement-

IMG Group dan Eureka Restaurant and Cafe merupakan konglomerat keluarga dari legasi keluarga Galadari, yang terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk taman tema, makanan dan minuman, teknologi, perdagangan, komoditi dan pelaburan.

Sementara itu, Galadari berkata pihaknya melihat potensi besar untuk jenama ini berkembang dan bersama-sama dengan Loob, ia berhasrat menjadikan Tealive sebagai jenama teh boba pilihan utama di rantau ini.

“Fasa pertama pengembangan akan tertumpu di bandar-bandar utama, bermula dengan pembukaan kedai pertama di Dubai pada awal 2025, diikuti empat lagi cawangan di bandar-bandar utama UAE pada tahun pertama beroperasi,” katanya.

Ini merupakan langkah pertama Tealive memasuki pasaran Asia Barat yang berpotensi besar, selepas kejayaan memasuki pasaran Afrika dan Amerika Utara dalam tempoh dua tahun lalu.

-BERNAMA
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427