Taufan Doksuri paksa Taiwan tutup perniagaan, batal penerbangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

TAIPEI: Taiwan Selatan hari ini terpaksa menutup perniagaan dan sekolah, manakala syarikat penerbangan membatalkan ratusan penerbangan domestik berikutan amaran tanah runtuh dan banjir susulan Taufan Doksuri melanda pulau itu sebelum dijangka mendarat di China, akhir minggu ini.

-Advertisement-

Setakat 8.30 pagi waktu tempatan Taufan Doksuri, yang dikategorikan pada tahap taufan kedua terkuat oleh Biro Cuaca Taiwan, menuju ke arah selatan Selat Taiwan dengan tiupan angin maksimum berkelajuan 191 kilometer sejam.

Doksuri sebelum ini dikategorikan taufan super, namun kekuatannya sedikit berkurangan selepas ia melanda pantai utara Filipina semalam, mengakibatkan kemusnahan tebing sungai dan ribuan orang terputus bekalan elektrik.

Sementara itu, menurut agensi bencana Filipina, Taufan Doksuri mengakibatkan lima orang terkorban di negaranya.

Biro Cuaca Taiwan hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan hujan yang diramal melanda bahagian selatan pulau itu, termasuk bandar pelabuhan utama Kaohsiung di mana perniagaan dan sekolah ditutup dan amaran tanah runtuh dikeluarkan.

Susulan itu, semua penerbangan domestik di Taiwan ditangguhkan, sementara penerbangan antarabangsa dibatalkan.

Perkhidmatan kereta api antara selatan dan timur turut dihentikan.

-Advertisement-

Lebih 4,000 orang dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, dengan kebanyakannya di pergunungan selatan dan timur Taiwan, di mana hampir 0.7 meter taburan hujan direkodkan di beberapa kawasan dan banjir sehingga satu meter diramalkan.

Ribut terbabit mengakibatkan bekalan kuasa terputus yang menyebabkan lebih 15,700 isi rumah di seluruh Taiwan terjejas, tetapi sebahagian besar daripadanya sudah dipulihkan.

“Taufan Doksuri tidak boleh dipandang remeh.

“Pasukan polis dan tentera akan membantu dalam usaha pemindahan paksa jika perlu,” kata Datuk Bandar, Kaohsiung Chen Chi-mai menerusi Facebook lewat semalam, sambil memaklumkan amaran hujan lebat diramalkan di kawasan pergunungan.

– REUTERS

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427