Tambah kuota minyak paket babitkan rentas kementerian

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya kuota minyak masak paket ditambah dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan bahan mentah itu di pasaran perlu diperhalusi merentas kementerian.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata ia bagi memastikan sebarang penambahan kuota tidak memberikan impak negatif ke atas kedudukan kewangan kerajaan.

“Cadangan penambahan kuota akan menyebabkan peningkatan kos ke atas pelaksanaan program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

“Kos pelaksanaannya boleh meningkat mendadak selari pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO).

“Justeru, cadangan berkenaan perlu diperhalusi bukan sahaja di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetapi kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai cadangan supaya kuota minyak masak paket bersubsidi yang ketika ini terhad kepada 60,000 tan, ditingkatkan bagi mengatasi kekurangan bekalan dalam kalangan pengguna domestik dan peniaga kecil.

Bagi mengatasi isu kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran, Fuziah berkata, KPDN menggerakkan pelbagai rangka tindakan bertujuan mengelak ketirisan di semua peringkat rantaian bekalan.

“Kita teruskan dasar melarang semua eksport minyak masak dalam polibeg di bawah Peraturan Kawalan Bekalan Larangan Eksport, mulai 1 Ogos 2022 supaya tiada ketirisan bekalan minyak subsidi ke negara jiran.

-Advertisement-

“Pemantauan minyak subsidi turut dipertingkat melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) yang merakam transaksi jualan minyak masak di pelbagai lapisan peringkat merangkumi kilang penapisan, pembungkusan, pemborong, peruncit ke satu data pusat.

“Melalui sistem ini, pemantauan KPDN bagi penyaluran minyak masak paket bersubsidi di pasaran dapat dibuat secara lebih berkesan,” katanya.

Memperincikan perkembangan terkini yang akan diperkenalkan melalui sistem ECOSS, beliau berkata, kerja menaik taraf sistem itu giat dijalankan.

Katanya, ia dijangka selesai pada pertengahan 2024 dan ECOSS akan membolehkan kawalan jualan minyak paket subsidi dilakukan di peringkat peruncitan supaya penjualan terhad kepada kumpulan sasar melalui penggunaan dokumen pengenalan diri.

“Pangkalan data pengguna yang layak menerima subsidi ini akan diterima daripada Pangkalan Data Utama (PADU) pada bulan ini.

“Kita akan lihat semua rantaian berada dalam sistem ini daripada pihak kilang penapis minyak hingga kepada pengguna yang layak untuk dimasukkan dalam sistem ini,” katanya.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427