Tambah baik tatakelola pengurusan tingkat industri beras negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

Industri padi dan beras adalah industri yang mendapat perhatian dan penumpuan khusus kerajaan bagi menjamin keterjaminan makanan negara. Kerajaan membuat pelaburan besar kira-kira RM6.820 bilion bagi tempoh 2019 hingga 2022 membabitkan kawasan seluas 647,936 hektar untuk penanaman padi.

-Advertisement-

Namun begitu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendapati pencapaian program penanaman padi tidak memuaskan yang mana sasaran output pengeluaran padi dan produktiviti padi per hektar tidak tercapai. Pada masa sama, keberhasilan pengeluaran beras dan kadar sara diri beras juga tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Jika diperhalusi LKAN 2020, rantaian pengeluaran tanaman ini berhadapan isu berulang, iaitu benih padi sah. Jumlah pengeluaran benih padi asas dikeluarkan tidak dapat memenuhi permintaan diperlukan.

Keadaan ini menyebabkan pesawah terpaksa mendapatkan bekalan benih daripada sumber lain dan seterusnya meningkatkan penggunaan benih padi tidak diiktiraf Jabatan Pertanian. Impaknya menyebabkan peningkatan padi angin dan kurang daya tahan tanaman berkenaan.

Harga jualan benih padi sah kepada pesawah melebihi harga kawalan ditetapkan antara RM35.50 hingga RM58. Pesawat tiada pilihan terpaksa membeli dengan harga ditawarkan walaupun menyedari meningkatkan kos pengeluaran.

Bagi menangani isu ini berulang, wajar setiap kawasan jelapang diberi kebenaran menghasilkan ladang benih sendiri dengan dikawal agensi berkaitan bagi menangani isu ini.

Selain itu, kelewatan penerimaan baja turut dilihat antara faktor mengganggu gugat rantaian pengeluaran makanan ini. Kelewatan penerimaan baja antara enam hingga 127 hari menyebabkan pembajaan tidak dapat dilakukan mengikut tempoh ditetapkan, sekali gus menjejaskan pertumbuhan padi serta memberi kesan kepada hasil pengeluaran.

Kegagalan penghantaran baja mengikut tempoh tumbesaran tanaman padi turut mengakibatkan lambakan berlaku, mendorong kewujudan pihak tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah menjual baja kepada pihak ketiga.

Justeru, proses pemutihan penerima bantuan baja padi perlu dilakukan sekerap mungkin bagi memastikan hanya pesawah tulen menerima baja subsidi.

Ancaman proses urbanisasi

-Advertisement-

Industri padi turut diancam dengan proses urbanisasi sehingga mengorbankan tanah sawah bagi tujuan pembangunan. Situasi ini secara langsung membuka ruang kepada penggunaan tanah bagi aktiviti pembangunan lain susulan proses pewartaan tidak dilakukan.

Kesannya bagi tempoh 2011 hingga 2021, seluas 11,123 hektar tanah sawah mengalami penyusutan membabitkan empat kawasan jelapang padi di Kerian (8,222 hektar), Kedah (2,617 hektar), Terengganu (47 hektar) dan Selangor (237 hektar).

Bagi pesawah berskala kecil, keperluan kepada jentera amat diperlukan bagi membantu kerja di sawah. Jentera tidak mencukupi akan menyumbang kepada bebanan kos perlu ditanggung pesawah.

Bilangan jentera yang tidak dapat memenuhi keperluan pesawah menyebabkan kebergantungan mereka kepada pihak ketiga bagi menyediakan perkhidmatan kerja pembajakan tanah dan penuaian hasil padi. Secara tidak langsung, situasi ini memudahkan orang tengah turut serta dalam rantaian pengeluaran makanan ini.

Bagi meningkatkan pengeluaran tanaman padi, kerajaan menyediakan pelbagai skim bantuan subsidi dan insentif penanaman padi seperti Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan, Skim Insentif Pengeluaran Padi dan Insentif Benih Padi Sah.

Sebagai rekod sejumlah RM3.673 bilion bagi tempoh 2019 hingga 2022 diperuntukkan bagi pelaksanaan intervensi berkenaan. Namun peruntukan disalurkan masih mempunyai baki terkumpul sebanyak RM193.34 juta dan tidak dibelanjakan secara optimum bagi membantu golongan sasar untuk mengurangkan kos pengeluaran padi.

Situasi ini menggambarkan ketidakcekapan dalam menguruskan sumber dan akhirnya memberi impak besar kepada pencapaian kadar sara diri negara dan pembangunan pesawah.

Oleh itu sudah tiba masanya, tatakelola pengurusan di setiap rantaian pengeluaran tanaman ini distruktur semula bagi memberi penekanan dan tumpuan khusus kepada agensi berkaitan berdasarkan bidang masing-masing.

Selaras Gelombang Padi mengandungi 12 inisiatif, ia diharapkan dapat mengangkat kembali industri padi dan beras ke tahap sepatutnya, impaknya dapat dikongsi dengan semua pihak terutama nasib pesawah lebih terbela.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427