Takaful terus menyumbang kestabilan ekonomi, sosial

Estimate Reading Time: 2 minutes

SELEPAS pandemik COVID-19 melanda negara pada 2020, kesedaran rakyat terhadap takaful semakin meningkat. Pada 2023, industri takaful mencatatkan pembayaran tuntutan sebanyak RM8.74 bilion bagi perlindungan Takaful Keluarga dan Takaful Am, mencerminkan peranan signifikan takaful dalam menyokong kehidupan masyarakat.

-Advertisement-

Industri ini dijangka terus berkembang pesat dengan kadar penembusan takaful diunjurkan meningkat kepada 40 peratus menjelang 2027, berbanding hanya 20 peratus pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohd Redzuan Mohamed, menyatakan penggiat industri sedang aktif melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan akses dan kesedaran takaful dalam kalangan masyarakat.

Fokus utama adalah kepada golongan B40 dan M40, termasuk ibu bapa muda serta pekerja gig, kebanyakannya belum mendapat perlindungan kewangan.

Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan keuntungan, tetapi merapatkan jurang kewangan dalam masyarakat, seiring agenda inklusiviti sosial.

Takaful berlandaskan konsep tolong-menolong (tabarru’), yang mana peserta berkongsi risiko melalui sumbangan wang ke dalam tabung dana. Dana ini digunakan untuk membantu peserta lain menghadapi musibah seperti kematian, masalah kesihatan atau kerugian lain dilindungi mengikut polisi.

Antara elemen utama dalam pelan takaful ialah kad perubatan, hibah dan pampasan sakit kritikal. Kad perubatan takaful menyediakan perlindungan bagi rawatan di hospital swasta, memberikan pilihan rawatan lebih selesa kepada pengguna. Kerajaan turut menggalakkan penyertaan dalam pelan ini dengan menawarkan pelepasan cukai kepada pencarum.

Bagaimanapun, pemegang polisi digalakkan memahami dengan mendalam ciri-ciri pelan mereka, seperti had tahunan, ‘klause ko-takaful’ dan syarat lain. Bermula September lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan penghapusan ciri ‘deduktibel’ bagi pelan kad perubatan untuk mengekalkan kestabilan dana tabarru’.

Hibah lindungi keluarga peserta

-Advertisement-

Hibah, satu lagi elemen penting takaful, menyediakan wang segera kepada Amanah Raya Berhad bagi melunaskan komitmen seperti hutang sebelum lebihan diagihkan kepada waris. Hibah memainkan peranan kritikal dalam melindungi keluarga peserta daripada beban kewangan sekiranya berlaku kematian.

Dalam konteks ini, produk seperti Takaful Tempoh Pinjaman Tetap (MLTT) diperkenalkan untuk memastikan tempoh perlindungan sejajar dengan tempoh pinjaman perumahan.

Pampasan sakit kritikal menyediakan tunai kepada peserta didiagnosis dengan penyakit kritikal. Pampasan ini bertujuan menampung kos tambahan seperti perjalanan ke hospital, penjagaan di rumah atau pembelian peralatan rawatan. Pampasan ini membolehkan peserta dan keluarga menyesuaikan diri dengan keadaan kewangan baharu tanpa tekanan tambahan.

Sementara itu, industri takaful kini giat melaksanakan Program Rangka Tindakan Sektor Kewangan (FSB), selaras dengan Pelan Strategik Hijrah 2027 BNM. Program ini menekankan aspek kemampanan, daya tahan ekonomi, pendigitalan dan kepimpinan kewangan Islam.

Satu daripada agenda utamanya ialah Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), bertujuan mewujudkan ekosistem kewangan lebih mampan dan inklusif. Program ini menunjukkan kemajuan ketara melalui 11 kumpulan kerja strategik memberi fokus kepada meningkatkan rangkuman kewangan dan memperkukuhkan daya tahan ekonomi.

Pada 2022, takaful menguasai 20.1 peratus pasaran insurans negara dengan sasaran untuk berkembang kepada 51 peratus dalam tempoh empat tahun akan datang. Inisiatif seperti Program Takaful FSB bertujuan menyelaraskan sasaran sektor kewangan BNM dan memastikan pertumbuhan mampan industri.

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) juga menjadi tulang belakang memacu keyakinan pengguna terhadap industri ini. Dengan dasar dan peraturan kukuh, takaful mampu terus menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan sosial. Pengguna pula disarankan memahami hak dan tanggungjawab mereka dengan lebih mendalam supaya pelan takaful dipilih benar-benar dapat memberikan perlindungan berkesan.

Hakikatnya, takaful bukan sekadar satu instrumen kewangan, tetapi pelaburan melindungi masa depan. Ungkapan, ‘Lebih awal melabur, lebih terlindung masa depan’, seharusnya menjadi motivasi bagi setiap individu mengambil langkah awal dalam memastikan keselamatan kewangan mereka.

Mohd Khairi ialah Pensyarah Ekonomi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu, manakala Mohd Ishak ialah Pengurus Inspire Group Kuala Lumpur
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427